Khairul Aming buat majlis doa selamat, netizen meremang dengar anak tahfiz azan di setiap penjuru

Oleh WAN SITI AMINAH

Akaun media sosial TikTok dimiliki sebuah pusat tahfiz di Taman Melawati, Kuala Lumpur telah menjadi tumpuan ramai baru-baru ini selepas berkongsi rakaman di sekitar restoran milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming iaitu Rembayung.

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit 24 saat itu, beberapa orang pelajar daripada pusat tahfiz berkenaan dilihat sedang melaungkan azan di setiap sudut restoran makanan tradisional Melayu yang terletak di Kampung Baru tersebut.

Difahamkan, rakaman dibuat ketika Khairul Aming yang turut bergelar usahawan muda itu mengadakan majlis majlis doa selamat sempena pembukaan rasmi restoran miliknya yang dijangka bakal memulakan operasi pada minggu hadapan.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mana pihak tahfiz turut mengucapkan terima kasih kepada Khairul Aming kerana telah menjemput mereka serta tidak lupa mendoakan kejayaan restoran berkenaan.

“Majlis doa selamat pembukaan restoran Rembayung. Alhamdulillah, terima kasih kerana jemput kami. Semoga maju jaya restoran Rembayung dan Khairul Aming bersama para pasukan,” kata pihak Tahfiz Darul Hidayah itu di ruangan kapsyen hantaran video.

@tahfizdarulhidayah

Majlis doa selamat pembukaan rembayung Alhamdulillah tkasih jemput kami.. semoga maju jaya buat restaurant rembayung & khairul aming serta team.. #rembayung

♬ original sound – Tahfiz Darul Hidayah – Tahfiz Darul Hidayah

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut telah berjaya meraih sebanyak 220,000 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya meluahkan rasa kagum dan mengakui merasa meremang apabila mendengar laungan azan daripada pelajar tahfiz.

Ramai juga pengguna memuji tindakan usahawan berusia 33 tahun berkenaan yang melakukan persiapan menyeluruh sebelum bertindak membuka restoran bukan sahaja daripada sudut luaran malah lengkap secara rohani dan jasmani.

“Alhamdulillah, sebab itu saya sentiasa cakap yang Khairul Aming ini memang terbaik. Dia membuat persiapan dari semua sudut termasuk rohani dan jasmani. Insya-Allah, satu hari nanti, saya singgah,” kata seorang pengguna berkongsi rasa kagumnya.

“Apabila Al-Quran dan doa mendahului, maka kebaikan akan mengiringi. Semoga setiap langkah nanti dipayungi rahmat dan redha Allah. Semoga Rembayung terus maju dan memberi manfaat.” Kongsi pengguna lain yang turut mengirimkan doa buat perniagaan usahawan terbabit.

Baca juga: Papa Zola masih di carta teratas 22 hari berturut-turut, kumpul RM50 juta