Sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Klang dilaporkan musnah dalam kebakaran jam 8 malam tadi.
Difahamkan, lebih 10 jentera bomba dikejarkan bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan hampir sebuah kilang kitar semula plastik di Lorong Sultan Mohamad 1, Pelabuhan Klang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggaran kemusnahan kilang membabitkan sehingga 90 peratus dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Kilang terbabit merupakan bangunan kelas A jenis setingkat dan kebakaran dapat dikawal pada jam 10.51 malam,” katanya dalam satu kenyataan yang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terbabit dalam operasi pemadaman itu.
“BBP terlibat ialah Pelabuhan Klang, Kota Raja, Sungai Pinang, Petaling Jaya, Subang, Kota Anggerik, Andalas, Serdang, Sungai Buloh, Seputih dan Shah Alam,” katanya.