Perkongsian seorang pelancong asing daripada Belarus mengenai ‘pengembaraannya’ sewaktu berkunjung ke negeri Terengganu telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya menerusi hantaran tular dimuat naik di platform Instagram itu, gadis terbabit turut berkongsi cerita tentang kejadian yang menemukannya dengan ibu angkatnya di negeri Pantai Timur tersebut.
Kejadian berlaku pada September tahun lalu selepas gadis dikenali sebagai Ella itu terlajak tidur dalam bas sehingga ke perhentian terakhir dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Terengganu.
Stesen terakhir itu terletak 10 kilometer (km) daripada kawasan bandar sehinggakan Ella terpaksa berjalan kaki sendiri sejauh lima km sebelum ditumpangkan orang lain sehingga sampai ke tempat yang dituju.
Gadis terbabit kemudian mengambil keputusan untuk menikmati sarapan di sebuah kedai makan sebelum didatangi oleh seorang wanita berusia yang tidak dikenali namun kini bergelar ibu angkatnya.
“Pemandu bas langsung tak perasan saya tertidur di stesen terakhir. Jadi saya terbangun di tempat letak kenderaan. Ketika di kedai makan, seorang wanita mula bercakap dengan saya. Dia tawarkan untuk membawa saya berkunjung di sekitar bandar dengan keretanya.
“Bunyi agak berbahaya. Tetapi dia membawa saya ke pantai, Masjid Terapung, pameran batik dan kilangnya. Dia sangat baik kepada saya. Walaupun saya hanyalah orang yang tidak dikenali. Keesokan harinya, kami makan malam bersama di sebuah restoran.
“Dia beritahu tentang Pulau Kapas dan membawa saya ke sana keesokan harinya. Saya terjatuh cinta dengan pulau kecil ini. Buat kawan, jumpa penduduk tempatan dan pelancong serta menghabiskan dua minggu terbaik saya di sini,” kongsinya dalam hantaran itu.
Ibu angkatnya dikenali sebagai Pauziah itu juga datang melawatnya di Pulau Kapas seminggu kemudian untuk memastikan Ella berada di dalam keadaan sihat selain turut membawa makanan iaitu Nasi Kerabu bersama.
Pauziah juga kembali lagi ke pulau berkenaan untuk menjemput Ella dan meluangkan masa bersama di Kuala Terengganu sebelum turut menghantar gadis Belarus itu menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

“Tujuh bulan berlalu, dia sentiasa mengambil berat tentang saya dengan menghantar ‘poskad’ yang cantik dan bertanyakan khabar. Tujuh bulan kemudian saya kembali ke Pulau Kapas dan dia datang melawat lagi. Dia juga bawa saya kembali ke Terengganu.” Kongsinya.
Baca juga: Duduk flat tapi claim parking macam kondo? Isu ‘cop parking’ buat ramai naik angin