Kuliah Ustaz Azhar Idrus di Bandar Tun Razak Ahad ini dibatalkan, status pendek jadi tanda tanya

Oleh KIM SYAZIE

Status pendek Facebook Ustaz Azhar Idrus menjadi tanda tanya apabila pentadbir halaman itu memberitahu kuliah pendakwah tersebut telah dibatalkan.

Mengikut jadual yang dikongsi, UAI sepatutnya dijadual memberi kuliah maghrib di Bandar Tun Razak, Cheras Ahad ini.Namun ia terpaksa dibatalkan “atas arahan pihak tertentu”.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Kuliah Maghrib Perdana UAI yang akan diadakan di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak pada 16 Julai 2023 terpaksa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

“Mohon maaf kepada warga Kuala Lumpur dan rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di tempat anda,” katanya.

Difahamkan, UAI hanya memaklumkan kuliah tersebut terpaksa dibatalkan namun tidak mengemukakan sebab-sebab lain.

Sementara itu, pendakwah sensasi Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani turut dilihat meninggalkan komen mengatakan bahawa individu yang membatalkan majlis tersebut akan dipertanggungjawab di dalam kubur dan di padang mahsyar nanti.

“Siapakah yg lebih zalim dari mereka yang menghalang agama Allah dari di sebut di dalamnya? Sepatutnya jika siapa yang membatal majlis ini, dialah menggantikan tempat tuan guru UAI ini… tapi?,” tulisnya.

Imbas kembali beberapa bulan lalu, UAI dilapor terpaksa membatalkan kuliah yang diadakan di Selangor berikutan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Baca juga: Rosyam Nor cabar umat Islam, tawar hadiah RM110,000 untuk pertandingan azan