Umum tahu banyak syarikat pelaburan yang menggunakan kata-kata manis untuk menarik orang ramai bagi melabur.
Namun bila masanya tiba untuk dividen, mulalah beri pelbagai alasan malah meminta lebih pelaburan dengan alasan keuntungan lebih tinggi.
Menganggap dirinya tertipu juga, penyanyi Datuk Jamal Abdillah, nekad mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pelaburan.
Syarikat tersebut didakwa gagal membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya lapor Kosmo! Online.
Jamal memaklumkan peguam yang mewakilinya sudah pun menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Demi keselamatan, saya pasang peguam untuk saman mereka. Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat.
“Sebenarnya kes itu saya tak boleh hurai banyak-banyak. Saya cuma boleh kata saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu saya sudah periksa di Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Memang wujud syarikat itu.
“Sekarang ini saya sudah lantik peguam yang sudah membuat siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Segala bukti telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelas Jamal, bukan sedikit wang yang dilaburkan, dia memasukkan sebanyak RM1 juta pada permulaan dan kemudian menambah lagi RM1 juta selepas dipujuk.
“Awalnya saya melabur RM1 juta terlebih dahulu dan mendapat pulangan sebanyak 12 peratus setahun. Selepas itu saya masuk lagi RM1 juta jadi RM2 juta.
“Tempoh matang lima tahun tetapi malangnya tahun ketiga itu dia (syarikat) itu sudah tidak bagi, pelbagai alasan diberikan termasuk tidak dapat kerana PKP.
“Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat. Ini bukan ‘scam’ sebab syarikat itu memang wujud dan masih berjalan.
“Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati,” dedahnya.
Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.
Namun, katanya, sehingga kini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh.
Ini secara langsung sudah melanggar perjanjian dengan terma yang sudah dipersetujui.