Lastik mata cikgu sampai buta, bapa berang anak ditegur kerana merokok

Oleh MAISARAH AISYA

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bukan anak sudah besar dan buat perangai baru nak nasihat, ketika itu semua sudah tidak berguna.

Tugas guru pula adalah untuk mendidik namun kebanyakan ibu bapa pantang anak ditegur walaupun memang terbukti anaknya nakal.

Seorang guru dari sebuah sekolah di Daerah Rejang Lebong, Bengkulu, Indonesia buta gara-gara dilastik bapa pelajar.

Guru tersebut mengalami kecederaan kekal di bahagian mata kanan selepas diserang oleh bapa kepada anak muridnya yang tidak berpuas hati.

Menurut Kumparan.com, si bapa berang anaknya ditegur kerana menghisap rokok dan mempercayai dakwaan bahawa si anak ditendang di bahagian muka.

Pegawai polis Rejang Lebong, Kompil Yusiady memaklumkan suspek telah melarikan diri selepas menyerang dan melastik mata mangsa.

“Suspek telah menghubungi isterinya di rumah. Dia diyakinkan untuk menyerah diri dan akhirnya akur,” ujarnya.

Polis kemudian menahan suspek pada 5 Ogos lalu dan siasatan mendapati dia marah gara-gara anaknya itu telah ditendang olah mangsa.

Bagaimanapun, anak mangsa (guru) berkata ayahnya tidak menendang murid terbabit di bahagian kepala tetapi hanya di kaki kerana terkejut melihat anak suspek merokok di kantin sekolah.

Ketika berjumpa dengan mangsa, suspek memohon maaf dan akui mengikut emosi serta menyesali perbuatannya sehingga menyebabkan cacat kekal.

“Menyesal sungguh encik, saya mohon maaf sebesar-besarnya,” ujar suspek.

Bagaimana seorang ayah sanggup membela anaknya yang sudah terang melanggar peraturan sekolah dengan merokok dan mempercayai kata-kata anak tanpa menyelidik terlebih dahulu.

Baca juga: Jadi OKU sekelip mata, kaki budak 11 tahun putus digilis lori ketika selamatkan kucing