Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pentingnya budaya bersetuju untuk tidak bersetuju diinstitusikan dalam dunia politik.
Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (Muda) itu berkata, kerajaan tidak harus menahan pihak yang mengkritik sebaliknya hujah perlu dilawan dengan hujah.
“Jangan apabila ada yang mengkritik, kita tangkap dan tekan. Penindasan bukanlah jawapan untuk perbezaan pendapat.
“Lawan hujah dengan hujah. Fakta dengan fakta. Bukan pergi tangkap dan nak penjara. Malaysia berhak jadi lebih baik,” katanya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian mengulas tindakan polis menahan pereka grafik Fahmi Reza berhubung poster satira ‘Keluarga Malaysia’ dan karikatur Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, Fahmi memberitahu dia ditangkap selepas disoal siasat pada jam 2.30 petang sebelum dibebaskan kira-kira jam 4 petang tadi berkenaan karya-karya tersebut.
“Aku kena tangkap polis selepas disoalsiasat untuk kes poster satira #KeluargaMalaysia dengan lukisan karikatur PM Ismail Sabri.
“Ditahan di IPD Wangsa Maju. #AktaSakitHati #SatireIsNotACrime,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Sementara itu, peguam Fahmi, Rajsurian Pillai berkata, Fahmi disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.