Kes Datuk Mahfuz Omar dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah kes contoh kes klasik untuk menuntut hutang penghakiman.
Menurut Dr Zulqarnain Lukman dalam kes ini Sanusi telah kalah saman fitnah oleh Mahfuz dan diperintahkan untuk membayar gantirugi sebanyak RM50 ribu.
Kata beliau, Sanusi tidak berpuas hati dan merayu kepada Mahkamah Rayuan. Dalam rayuan ini Mahfuz juga memfailkan notis rayuan balas. Malangnya bagi Sanusi, hakim rayuan menolak rayuan Sanusi dan membenarkan pula rayuan balas Mahfuz dengan menaikkan jumlah gantirugi menjadikan jumlahnya RM120 ribu.
“Sanusi berhak untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. Namun setakat ini belum ada berita lagi mengatakan Sanusi telah memfailkan permohonan kebenaran merayu itu. Tiada juga apa-apa permohonan untuk penggantungan perintah dikeluarkan.
“Menurut laporan berita Malay Mail ini Sanusi menyatakan Mahfuz membuat aksi stunt murahan apabila Mahfuz membuat video di media sosial menuntut Sanusi membayar gantirugi itu. Bunyi nada Sanusi itu agak marah dan tersinggung dengan video Mahfuz itu. Namun, Sanusi sebagai orang politik tidak sepatutnya tersinggung kerana politik adalah seni untuk menahan sabar, ibarat kata Sanusi sendiri dahulu, “Panas takpe asalkan jangan koyak”.” kata beliau.
Beliau berkata, Sanusi juga memberikan alasan bahawa proses ini telah diuruskan oleh peguam daripada awal sehingga habis dan dia pulak yang menasihati Mahfuz untuk bersabar. Macam pelik pulak kan? Bagaimana Sanusi pulak yang minta Mahfuz bersabar sedangkan Sanusi yang patut bersabar dan menerima ketentuan Mahkamah. Alasan Sanusi untuk Mahfuz bersabar adalah kerana bayaran akan dibuat antara peguam Sanusi dan peguam Mahfuz.
“Menurut aspek perundangan ada 2 peringkat proses menuntut gantirugi ini. Pertama, proses untuk membuktikan kes dan mendapatkan penghakiman Mahkamah. Proses ini akan dimulakan oleh peguam dan setelah perintah Mahkamah diperolehi dan diserahkan kepada pihak-pihak maka kerja peguam telah selesai. Peguam tidak lagi masuk campur selepas itu melainkan ada arahan baru anakguam.
“Proses kedua adalah untuk melaksanakan dan menguatkuasakan perintah Mahkamah itu. Peguam tidak akan terlibat dalam proses ini jika defendan yang kalah telah membayar gantirugi menurut perintah Mahkamah itu. Pembayaran boleh dibuat melalui peguam atau secara terus ke dalam akaun plaintif. Jadi katakan Sanusi telah bayar Mahfuz secara terus melalui pindahan wang antara akaun maka kes dianggap selesai.
“Namun, sekiranya defendan tetap berdegil enggan membayar gantirugi menurut perintah Mahkamah maka baharulah plaintif akan melantik peguam sekali lagi dan memberikan arahan bagi menguatkuasakan hutang penghakiman ini.
“Ada pelbagai cara yang untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah ini. Antaranya seperti memfailkan tindakan kebangkrapan, writ sita dan lelong, saman penghutang penghakiman atau garnismen. Cara mana yang efektif cara itulah yang peguam akan sarankan,”ujarnya.
Dalam kes jelas beliau Sanusi ini Mahfuz boleh memfailkan tindakan writ sita dan lelong dahulu. Mahfuz boleh menyita barang-barang persendirian Sanusi dan melelongnya terlebih dahulu. Mungkin ramai collector yang berminat dengan barang peribadi Sanusi dan membidanya dengan harga yang tinggi.
“Biasanya orang akan sita barang-barang elektrik sebab barang itu ada harga. Tak taulah kot ada peminat collector barang peribadi macam seluar dalam dan berus gigi pun boleh disita kalau ada orang nak beli,”katanya.
Selain itu, bagi beliau cara yang agak efektif adalah untuk Mahfuz memfailkan permohonan untuk membangkrapkan Sanusi. Cara ini efektif kerana seorang yang bankrap tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Sama-samalah kita melihat telatah drama Sanusi vs Mahfuz ini sehingga selesai,”kata beliau.
Baca juga: Istana tak akan layan dakwaan Anwar hilang sokongan majoriti