Sebuah video memaparkan tindakan ekstrem seorang lelaki dari Grobogan, wilayah Jawa Tengah membelah rumahnya sendiri menjadi dua bahagian selepas isterinya didakwa ada orang ketiga.
Kejadian yang berlaku di Desa Mlowokarangtalun, daerah Pulokulon itu dilaporkan tular di media sosial.
Rakaman berkenaan menunjukkan lelaki itu memegang gergaji mesin dalam keadaan emosi sebelum memotong struktur utama kediaman tersebut lapor portal Jawa Pos.
Selain merosakkan bahagian dinding, dia turut memusnahkan beberapa perabot termasuk meja kayu dalam kejadian pada pagi Jumaat, 13 Februari lalu.
Difahamkan, tindakan drastik itu dipercayai berpunca daripada konflik rumah tangga yang semakin meruncing.
Penghulu Desa Mlowokarangtalun, Wahyu Hudiyono mengesahkan insiden tersebut benar berlaku di kawasannya.
Menurut Hudiyono, pertikaian pasangan suami isteri itu didakwa berpunca daripada isu orang ketiga di pihak isteri.
“Menurut maklumat, suami sudah memaafkan dengan syarat perkara itu tidak berulang. Namun isterinya tidak lagi mahu meneruskan kehidupan bersama,” katanya.
Sebelum kejadian, penghulu desa dilaporkan telah cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, usaha tersebut gagal mencapai kata sepakat dan akibat kecewa serta tidak menemui jalan penyelesaian, lelaki terbabit bertindak merobohkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini.
Baca juga: Anak mangsa bunuh dedah ibu sudah bayar duit tunang RM7,000, putus sebab kerap gaduh