Sanggup jadi pekerja pembersihan, rupa-rupanya pemuda ini adalah bakal doktor

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk mencari pekerjaan berdasarkan kelulusan yang diambil semasa melanjutkan pengajian di universiti.

Apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai memilih untuk ambil sahaja peluang pekerjaan yang ada sebelum mencari kerja bersesuaian dengan ijazah.

Kisah mengenai pemuda yang hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan ini dikongsi di Facebook Zayyan.

Kisah yang berlaku pada tahun 2019 ini diharap menjadi inspirasi buat mereka yang terlalu memilih kerja dan di bawah adalah perkongsian tersebut.

Pemuda ini masuk bekerja sebagai Pekerja Pembersihan Swasta di sekolah saya. Orangnya tidak banyak bicara dan tekun melaksanakan tugasnya.

Kelmarin, Dia ingin berjumpa dengan saya dan bermacam-macam perkara yang terlintas dalam pemikiran saya. Pelik!

“Cikgu, saya nak minta tolong!” katanya penuh tertib.

“Kenapa?”, saya bertanya sambil memerhatikannya dan dia tersenyum penuh keikhlasan. Makin pelik!

“Cikgu, saya nak minta tolong untuk cikgu jadi saksi sebagai kakitangan kerajaan.” katanya sambil tersenyum.

“Aduhai, Apa pula ni!” Getus hati. Saya tenung wajahnya. Tiada sebarang kejanggalan.

Saya semakin berperang dengan perasaan, antara logik dan andaian. Dia menyua satu borang. Saya ambil, baca dan merenung dia kembali! Saya kagum!

Secara spontan saya bertanya kepada dia, “kenapa kerja di sini?”

Dia menjawab dengan senyuman, “cari duit, cikgu. Duduk rumah pun bukan dapat apa-apa.”

“Dah berapa lama tak dapat kerja dengan kerajaan ni?” Tanya saya penuh kekaguman.

“Dah setahun lebih. Saya buat dulu kerja-kerja lain dan macam-macam kerja,” katanya.

Saya menandatangan pada ruangan yang diperlukan tanpa rasa curiga dan berjabat tangan dengannya.

“Selamat untuk semunya!” ucap saya penuh ikhlas. Terasa saya ingin berikan satu tabik hormat kepadanya serta mereka yang bersikap sepertinya.

Pemuda yang juga pekerja kebersihan itu sebenarnya adalah lulusan universiti di Mesir, dan baru sahaja mendapat surat panggilan untuk bertugas di sebuah hospital kerajaan.

Dalam ekonomi sekarang, susah untuk memilih kerja dek kerana semakin banyak graduan dan semakin kurang peluang pekerjaan.

Baca juga: Ingatkan gaji RM10K dah mampu pakai Vellfire, pemilik akui terbeban sebab kos ‘maintenance’ keras