Mahathir sedia sokong jika Anwar jadi PM

Oleh KIM SYAZIE

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedia menyatakan sokongannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya peroleh sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini Pejuang memilih untuk tidak memihak kepada mana-mana gabungan sama ada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) dalam isu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, Pejuang lebih cenderung menjadi ‘third force’ dan mahu mengasingkan diri kerana kedua-dua gabungan PH dan PN dilihat tidak menarik.

“Pejuang ini ‘third force’ tak terikat dengan mana-mana pihak. Kalau Anwar jadi Perdana Menteri, kita sokonglah.

“Tapi kita ingin tahu apa pendirian mereka. Sebab itu Pejuang tak gabung dengan sesiapa sekarang ini,” kata Pengerusi Pejuang itu dalam wawancara dengan Bernama TV malam tadi.

Semalam, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 kepada Istana Negara.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang semalam untuk mengemukakan surat akuan bertulis mereka

Sementara itu Mahathir menyatakan harapan agar kerajaan yang lebih gagah dapat dibentuk dan tiada lagi kerajaan lemah yang memerintah negara.

Ini kerana katanya, kerajaan yang lemah akan sentiasa diancam dan diugut oleh rakan sendiri untuk menarik sokongan, seperti yang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN).