Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu menjelaskan mengapa Mesyuarat Khas Parlimen tidak dapat diadakan semula pada Ogos ini bagi membatalkan Ordinan-ordinan Darurat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan agar Dewan Rakyat bersidang pada 16 Ogos ini dan Dewan Negara bersidang pada 17 hingga 19 Ogos bagi membatalkan Ordinan Darurat tersebut.
“Mengapa Parlimen ditutup selama dua minggu dan mengapa sidang khas Parlimen yang disingkatkan tidak dapat diadakan semula pada tarikh yang lebih awal.
“Mahiaddin harus menjelaskan mengapa sidang khas Parlimen tidak dapat diadakan semula supaya usul untuk membatalkan enam Ordinan Darurat dapat dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan dalam sidang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim turut mempersoalkan adakah sidang Parlimen akan ditangguh sehingga 6 September nanti iaitu semasa berlangsungnya Mesyuarat Keempat Sidang Parlimen ke-14 yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.