Mahkamah Tinggi dijangka tentukan hakim perlu tarik diri atau tidak petang ini

Oleh BORHAN AHMAD

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan membuat keputusan petang ini berhubung permohonan Datuk Seri Rosmah Mansor agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri dari menghakimi kes itu dengan alasan ia dipengaruhi oleh pihak lain.

Ia berikutan bocornya draf penghakiman beliau yang dibocorkan oleh blog Malaysia Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamarudin.

Bagi Pendakwaraya kes ini Gopal Sri Ram bocornya draf penghakiman ini tidak mempengaruhi keputusan hakim kerana ia berupa draf yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah bagi membantu hakim membuat keputusan.

Bagi bekas Hakim Mahkamah Agung itu, penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama di negara Komanwel hanya untuk membantu hakim ketika menyelidik kes.

Sri Ram berkata akhirnya penulisan itu adalah pendangan anggota unit yang menulisnya dan keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.

Beliau juga berkata, Malaysia Today bukanlah sumber berwibawa.

“Dalam penghujahan saya, penulis artikel (di blog itu) adalah seorang pelarian daripada keadilan yang bersembunyi di United Kingdom.

“Kedua, dia adalah wartawan ‘jahat’ (rogue). Pandangannya berubah berdasarkan berapa banyak dia dibayar,” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh pula dalam penghujahannya berkata, hakim yang mengendalikan perbicaraan perlu mampu melaksanakan tanggungjawabnya secara saksama dan bebas daripada pengaruh luar.

Katanya, kebebasan kehakiman memastikan seorang hakim dapat menilai bukti, mengguna pakai undang-undang dan menentukan keputusan kes tanpa mengira mana-mana pihak, demi menegakkan keadilan.

“Saya ada keyakinan penuh terhadap Yang Arif (Mohamed Zaini Mazlan) tidak akan dipengeruhi oleh perkara ini, tetapi (risiko berat sebelah) masih wujud, dan itulah tujuan permohonan (pengguguran hakim),” katanya.

Beliau juga berhujjah, walau sejahat mana sesaorang itu, ada juga sisi baik tentang dirinya bagi berhujjah bahawa walaupun Raja Petra seorang yang dikatakan ‘jahat’, tidak semestinya semua dari beliau tidak baik atau palsu.