Meskipun hasrat untuk membina sebuah masjid baharu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu, pelakon Aeril Zafrel tetap komited menyumbang kepada pembangunan rumah ibadah.
Aeril bersyukur apabila diberi peluang untuk membantu menaik taraf dan memperbaiki masjid di kampung halamannya.
Jelasnya ia adalah bagi memastikan keselesaan jemaah, terutama menjelang ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi lapor Astro Gempak.
“Alhamdulillah kita sudah mulakan renovasi di sebuah masjid di kampung saya. Cadangan asalnya kita nak baik pulih sebuah masjid yang baharu.
“Namun, bila kita lihat semula, ada banyak proses yang perlu dilalui. Masjid yang lama juga masih ada orang-orang yang infaq. Jadi, timbul dilema di situ.
“Bila ada yang infaq dan mereka sudah beli bahan-bahan binaan, kalau kita ganti yang baharu, bahan yang lama ini tidak akan digunakan,” katanya seperti dipetik Gempak.
Jelas Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, proses tersebut juga melibatkan banyak pihak maka dia memilih jalan untuk memastikan keselesaan para jemaah.
“Bila berbincang semula, proses-proses ini turut melibatkan banyak pihak termasuklah kerajaan.
“Jadi, kita renovasi dahulu mana lebih utama dan memerlukan agar para kariah dapat merasai keselesaan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Aeril mendedahkan kos untuk proses renovasi masjid berkenaan hampir mencecah setengah juta ringgit.
“Kos renovasi itu mencecah hampir setengah juta ringgit. Proses renovasi itu pun sudah hampir siap. Namun, ada beberapa penambahan yang perlu dilakukan.
“Saya juga perlu menambah sedikit lagi wang berdasarkan keperluan. InshaAllah menjelang Ramadan ini, masjid itu sudah boleh diguna pakai,” ujarnya.
Kongsinya, dia bercadang untuk meneruskan usaha tersebut ke masjid-masjid di tempat lain pula dan memaklumkan akan mulakan pencarian selepas raya nanti.
Baca juga: Kenyataan ‘jangan cari pasal dengan orang berduit’ bukan untuk netizen, Ojen Aiwah mohon maaf