Mahu menua secara semula jadi, Che Ta tolak cucuk, pentingkan kesihatan

Oleh KIM SYAZIE

Rupa tidak dimamah usia, kecantikan Rozita Che Wan dari muda hingga kini masih kekal sama kejelitaannya.

Lihat sahaja empunya badan, fesyen dan gaya Che Ta sentiasa mengikut trend terkini walaupun sudah bergelar ibu kepada tiga anak.

Ramai wanita di luar sana mengimpikan bentuk tubuh badan dan kecantikan yang dimilikinya meskipun usia sudah mencecah 50 tahun.

Tular sebuah foto yang dimuat naik semula oleh pengguna aplikasi TikTok memaparkan pelakon itu bergambar bersama ibu dan bapa saudara sewaktu berkunjung bersempena Aidilfitri tahun lalu.

Dalam gambar itu, Che Ta dilihat mengenakan persalinan berwarna krim namun lain pula menjadi perhatian apabila tangan berurat selebriti itu menjadi perhatian.

“Awat mata saya nampak lain sahaja kat tangan Che Ta itu.

“Nak tidur tetiba nampak gambar ini, terus seram..ka (atau) saya sahaja yang perasan,”tulis individu terbabit.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan mereka beranggapan ia adalah normal memandangkan aktres kelahiran negeri Jelapangan Padi itu sudah berusia.

Terdahulu, Che Ta pernah mengakui bahawa tangannya bukanlah berkedut-kedut sebaliknya urat yang jelas kelihatan kerana dirinya tidak mempunyai banyak isi.

Malah, Che Ta juga berkata dia memilih untuk menua secara semual jadi dan menolak sebarang suntikan kecantikan semata-mata mahu kelihatan muda dari usianya.

“Saya tahu usia hampir mencecah 50 tahun. Saya terima kalau ada orang cakap muka sudah ada kedut. Normal untuk orang seusia saya. Itu lebih baik daripada usia 30 tahun, tapi orang kecam wajah macam 50 tahun.

“Saya memilih untuk menua secara semula jadi. Tak mahu cucuk sana sini. Saya lebih pentingkan kesihatan. Alhamdulillah, saya masih sihat tubuh badan dan boleh bekerja,” katanya.

Baca juga: Dakwa guru gigit bibir dan tarik mulut anak, ibu tidak buat laporan polis?