Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyuarakan kebimbangan baginda mengenai desas-desus mengenai kestabilan kerajaan.
Sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu, baginda khuatir apabila pemimpin yang dipilih rakyat masih belum menemui kata sepakat.
Malah, ada gerakan yang dipercayai mencuba untuk menggugat kestabilan negara yang sedang dibina oleh kerajaan.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
“Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini,” titah baginda.
Ujar baginda lagi, pemimpin seharusnya lebih fokus untuk memulihkan ekonomi dan mengutamakan kesejahteraan serta kemakmuran negara.
Desas-desus cubaan untuk menggulingkan kerajaan mula timbul apabila pemimpin pembangkang membuat satu hantaran di laman Facebook.
Memberi bayangan bakal menumbangkan Kerajaan Perpaduan, hantaran itu dikongsikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

“126 dah…jika benar Alhamdulillah.” Tulis Muhammad Faiz menerusi laman Facebook miliknya.
Baca juga: JAIPs sanggah Wadi Annuar – “Dia hilangkan diri tanpa sebarang makluman”