Majlis AIDS Malaysia (MAC) tampil menjelaskan bahawa acara yang dianjurkan oleh pihaknya di Kemumin, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Jun lalu adalah program kesedaran kesihatan mengenai pencegahan penyakit HIV.
Program diadakan pada jam 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perkhidmatan HIV lebih berkesan, inklusif dan berpaksi kepada komuniti.
Menerusi kenyataan dimuat naik di platform Facebook itu, MAC menjelaskan bahawa sesi yang menghimpunkan lebih 70 peserta daripada kalangan komuniti berisiko tinggi terbabit perlu dijalankan di luar waktu pejabat.
Hal ini kerana pihaknya mahu memberi peluang kepada peserta yang bekerja di waktu pejabat untuk turut serta dalam program tersebut dan mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
“Pada 17 Julai lalu, Majlis AIDS Malaysia (MAC) telah mengadakan satu sesi ‘outreach’ lapangan di Kota Bharu, Kelantan di bawah model Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP).
“DHSKP menekankan penyampaian perkhidmatan yang disesuaikan mengikut keperluan kumpulan sasaran, bebas stigma dan dijalankan melalui kerjasama antara fasiliti kesihatan awam dan organisasi komuniti.
“Program ini merangkumi saringan, kaunseling, rawatan, dan sokongan bertujuan untuk merapatkan jurang akses kepada perkhidmatan kesihatan selain meningkatkan keberkesanan pencegahan serta rawatan HIV,” katanya,
Sesi itu juga diadakan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kota Jembal membabitkan pemberian taklimat berkaitan risiko jangkitan HIV dan nasihat tentang kaedah-kaedah pencegahan jangkitan penyakit berkenaan.
Maklumat penting mengenai rawatan antiretroviral (ARV) yang bukan sahaja berfungsi merawat penyakit HIV malah dapat mencegah penularannya kepada individu lain turut disampaikan dalam program tersebut.
“Sesi ini juga melibatkan saringan HIV yang berasaskan komuniti (Community-Based Testing) dijalankan secara sulit dan profesional. Proses saringan bagi setiap individu mengambil masa antara 10 hingga 15 minit.
“Secara kumulatifnya, sesi ini berlangsung hampir 6 jam hingga melepasi waktu tengah malam demi memastikan kesemua 70 peserta mendapat saringan serta kaunseling yang berkaitan.
“Peserta yang didapati mempunyai keputusan reaktif pula akan diberi kaunseling ringkas oleh Pegawai Perubatan yang hadir semasa program di samping dirujuk juga ke Klinik Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” jelas MAC.
MAC turut merakamkan penghargaan tinggi kepada para petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Kota Jembal atas komitmen dan kerjasama mereka dalam menjayakan program selain menyeru sokongan agensi kerajaan lain.
Sekiranya pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasaan undang-undang dapat bekerjasama, pelaksanaan DHSKP dapat dilaksanakan dalam suasana lebih kondusif selari dengan realiti lapangan dan cabaran epidemik HIV/AIDS.
“Kami amat berharap agar program seperti ini tidak dipolemikkan secara tidak wajar kerana ia boleh mengganggu usaha kolektif dalam menangani HIV di Malaysia.
“Sebaliknya, pendekatan berasaskan komuniti seperti DHSKP harus diberi sokongan menyeluruh sebagai satu strategi berkesan untuk menamatkan AIDS menjelang 2030.” Ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, satu perjumpaan melibatkan hampir 100 individu dari golongan gay di sebuah banglo di Kemumin dilaporkan diserbu oleh pihak polis yang membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.
Baca juga: Kerajaan negeri Kelantan tuntut siasatan menyeluruh terhadap dakwaan pesta seks sejenis