“Makan, minum, tidur di lantai” – Budak 12 tahun jaga ibu terlantar di hospital seorang diri

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang rela makan, minum dan tidur di lantai wad hospital demi menjaga ibu terlantar sakit telah berjaya menyentuh hari orang ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, kanak-kanak yang juga merupakan anak tunggal di dalam keluarga itu kelihatan langsung tidak kekok dan begitu bersemangat ketika menjaga dan menguruskan ibunya tanpa bantuan orang lain.

Rakaman ketika kanak-kanak itu menguruskan ibunya yang terlantar akibat strok itu dikongsikan oleh seorang wanita menerusi platform TikTok ketika turut berada di hospital berkenaan.

“Sepanjang aku berada di sini (hospital), dia seorang diri menjaga ibunya yang terkena strok. Tak duduk diam dia dalam memastikan ibunya betul-betul berada dalam keadaan selesa.

“Dia yang tukarkan lampin pakai buang dan lapkan badan ibunya. Dia buat sendiri tanpa ada bantuan dari sesiapa,” kata pengguna TikTok berkenaan di dalam perkongsian video itu.

Namun apa yang lebih memilukan adalah ketika perakam video berkenaan memaklumkan bahawa pesakit terbabit juga merupakan seorang ibu tunggal bermakna mereka hanya tinggal berdua.

Doktor yang merawat wanita itu juga tidak pasti sama ada anaknya memahami penjelasan yang diberikan mengenai keadaan kesihatan ibunya memandangkan usia kanak-kanak berkenaan belum matang.

“Dia ibu tunggal, hanya ada anaknya itu sahaja. Doktor sendiri tak tahu sama ada kanak-kanak itu faham atau tidak apa yang diterangkan atau perlu dilakukannya dalam usia yang baru 12 tahun itu.

“Semoga anak ini kuat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak di usia seawal 12 tahun,” tulis pemilik video berharap urusan kanak-kanak berkenaan dipermudahkan.

Dalam perkembangan terbaharu, perakam video dalam ruangan komen memaklumkan bahawa ibu kepada kanak-kanak terbabit sudah dibenarkan pulang ke rumah oleh pihak hospital.

Kanak-kanak itu juga dimaklumkan sudah kembali ke sekolah manakala ibunya pula dijaga dengan bantuan daripada adik-beradik kepada wanita berkenaan secara bergilir-gilir.

Perkongsian tersebut tular di media sosial di mana rata-rata pengguna TikTok meluahkan rasa kagum terhadap semangat kanak-kanak berkenaan menjaga ibunya dengan penuh teliti meskipun usianya masih muda.

Ramai juga pengguna membanjiri ruangan komen dengan kiriman doa supaya ibu kepada kanak-kanak itu segera dikurniakan kesembuhan dan urusan kedua beranak itu dipermudahkan.

Baca juga: Wanita datang nak beli burger guna duit syiling tapi tak cukup RM1, permintaan dia buat sebak