Rakyat Indonesia ulas punca Ringgit Malaysia meroket, geram nilai Rupiah jatuh lagi

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular perkongsian luahan kekesalan rakyat Indonesia dengan kejatuhan mata wang Rupiah yang disifatkan sangat jauh ketinggalan daripada nilai Ringgit Malaysia.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform X, pemilik akaun @Hidupsebagai62 itu membuat perbandingan nilai dua mata wang berkenaan bermula daripada 10 tahun lalu.

Difahamkan pada tahun 2015 itu, perbezaan nilai mata wang Rupiah dan Ringgit disifatkan tidak ketara sebelum kedua-duanya mula melemah pada 2020 sewaktu wabak COVID19 melanda.

Namun pada tahun 2026, jurang semakin terasa apabila mata wang Ringgit Malaysia mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga AS$1 bersamaan dengan RM3.95.

“Dibandingkan dengan rupiah, AS$1 bersamaan dengan IDR17,400. Malahan RM1 sekarang setara dengan IDR4,400. Bisa beli apa dengan 1 ringgit dibandingkan dengan 1,000 rupiah?

“Indonesia masih berdaya saing. Tetapi mengapa dalam aspek gaji dan daya beli di peringkat global, kita sudah ketinggalan jauh? Kenapa ringgit bisa kuat namun rupiah enggak?

“Menurut analis, pengukuhan ringgit adalah hasil daripada gabungan asas domestik yang membaik dan dorongan faktor luaran terutama kelemahan dolar AS,” katanya dalam perkongsian itu.

Perbandingan di antara nilai mata wang Rupiah dengan Ringgit Malaysia pada tahun 2015, 2020 dan 2026 yang dikongsikan di akaun X tersebut.

Walaupun ekonomi Indonesia juga berkembang, namun data menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) di sepanjang sembilan bulan pada tahun lalu malah menurun sebanyak 1.49 peratus.

Manakala Malaysia pula menikmati kenaikan FDI sehingga 41.33 peratus dalam tempoh sama yang menunjukkan syarikat teknologi besar dunia lebih memilih untuk masuk ke pasaran negara ini.

“Ringgit menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia sepanjang tahun 2025, sementara rupiah pula mencatatkan penurunan terdalam di Asia. Apakah Indonesia kalah dari Malaysia?

“Populasi dan pasar domestik, Indonesia menang jauh. Harga makanan dan kos hidup lebih murah. Sumber daya alam, Indonesia lebih kaya. Namun daya tarik pelaburan? Malaysia menang besar.

“Kualiti dasar fiskal di Malaysia lebih disiplin. Nilai tukar dan mata wang stabil juga mereka menang. Daya saing global? Malaysia di tempat 23 dunia, kedua di ASEAN selepas Singapura,” kongsinya.

Menurutnya lagi, Malaysia menjadi negara ‘kaya’ bukan kerana beruntung namun konsisten dalam dasar fiskal yang ketat, aktif menarik pelaburan teknologi dan memiliki pemerintah dipercayai.

Baca juga: Bangunan paling tinggi di dunia ini masih terbiar di tengah bandar, tak tahu siapa punya