Malaysia perlu distabilkan supaya rakyat dapat dibantu

Oleh BORHAN AHMAD

Saat ini kita sudah memiliki seorang Perdana Menteri baharu yang dianggap sebagai penerus kepimpinan kepada kerajaan “Abah Muhyiddin” lepas.

Walaupun parti politiknya Umno tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 tahun 2018 namun strategi dan kecekalan pimpinan “warlod” Umno menyusun dengan tenang sekaligus berjaya memperoleh takhta orang nombor satu negara.

Inilah politik yang dicatur mereka malah dianggap ia satu kejayaan pada rakyat terbanyak. Sudah tiada dendangan kerajaan gagal walaupun Perdana Menteri hari ini bekas orang nombor dua terkanan sekali dalam kerajaan yang dikatakan “gagal” tersebut.

Penglibatan Istana Negara setelah berlaku polemik atau krisis politik telah membuatkan rakyat sedar golongan kerabat ini juga mempunyai peranannya yang tersendiri.

Semestinya sebagai pemerintah negara berharap yang terbaik dan kestabilan dalam pentadbiran, tambahan pula kini negara berhadapan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 juga krisis ekonomi di mana kilang dan para peniaga terpaksa ditutup sehingga menganggu sumber pendapatan hakiki mereka.

Tempoh hari perkataan kestabilan itu dilihat sangat banyak digunakan oleh para penganalisis malah dalam Titah Yang di Pertuan Agong sendiri menyeru agar orang politik bersatu hati bersama-sama menyelamatkan negara dari terus dibebani krisis yang pelbagai.

Namun, kita kena sedar dalam politik sudah pasti ada kepentingan yang dicari sedangkan kita boleh lihat hari ini tanda pagar kerajaan gagal oleh beberapa pihak di media sosial juga sudah berkurangan hanya kerana Perdana Menteri citarasa mereka sudah terpilih.

Fakta mengatakan banyak nyawa yang terkorban malah makin ramai pula hilang pekerjaan jadi apakah lagi orang politik masih mahu tikam-menikam antara satu sama lain? Seeloknya akur sahaja pada Titah Agong untuk melaksanakan satu konsep kerajaan yang stabil dengan tidak menekan pihak lawan sebaliknya mengajak sekali bersama-sama dalam membantu menstabilkan negara dalam apa jua bentuk sokongan.

Kerajaan hari ini akan diberi peluang seluas-luasnya, janji yang belum ditunai sewaktu 18 bulan lepas perlulah dikotakan agar tidak hanya berkokok di siang hari tapi hasil dan pulangannya kosong.

Pihak dalam kerajaan mahupun pembangkang perlulah berfikir di luar kotak malah lupakan sengketa kerana masing-masing tidak punya jumlah sokongan yang tidak banyak. Individu yang mempunyai rekod bersih dan berintegriti perlulah dibawa bersama dalam pentadbiran kerajaan yang dikatakan BN PLUS.

Sifat terbuka dalam memerintah perlu diasaskan kerana tempoh sekarang adalah menfokuskan penyelesaian krisis dalam beberapa sektor antaranya kesihatan dan ekonomi.

Serangan politik secara terbuka perlu dihentikan bagi menghormati Istana Negara dan juga rakyat biasa. Keceluparan mulut Menteri juga perlu dijaga agar tidak mengguris hati rakyat, sebagai seorang pemimpin, bahasa dan tingkah laku kita sudah pasti akan diperhatikan dan dinilai orang jadi bersikap matanglah anda kemudian hari.

Pilihan Raya Umum hampir pasti akan paling awal pertengahan 2022 jadi buatlah gerak kerja dalam membantu rakyat. Mereka sedang memerhati anda jadi jagalah tingkah laku agar tidak menyemarakkan lagi perasaan amarah.

Sebagai rakyat perlulah sentiasa menjadi cerminan mereka agar orang politik sentiasa takut untuk melakukan kesalahan dan kecelaruan kerana Malaysia Baru hari ini jelas tiada pihak yang boleh senang lenang mencengkam kuasa.

————–

Penulis adalah pengarah komunikasi Pemuda AMANAH Kepala Batas.