Isu etika penguat kuasa kembali menjadi perhatian apabila seorang wanita mendakwa dihubungi oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia selepas melalui sekatan jalan raya.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita itu memaklumkan anggota berkenaan pada awalnya hanya meminta nombor kad pengenalannya kerana aplikasi MyJPJ tidak dapat dibuka untuk semakan lesen.
Menurutnya, situasi ketika itu kelihatan biasa apabila anggota terbabit sempat bergurau mengatakan lesennya sudah tamat tempoh sebelum membenarkannya meneruskan perjalanan.
“Boleh saya tahu kalau JPJ boleh kesan nombor telefon kita daripada butiran?
“Semalam masa sekatan jalan raya, dia minta lesen saya tapi aplikasi MyJPJ tak boleh buka, jadi dia cuma minta nombor kad pengenalan untuk semak.
“Lepas itu dia bergurau kata lesen saya dah tamat, tapi saya beritahu baru saja renew (perbaharui) rupa-rupanya dia bergurau, kemudian dia lepaskan saya,” kongsinya di Threads.
Namun keadaan bertukar janggal apabila dia menerima mesej daripada nombor tidak dikenali sejurus tiba di rumah yang didakwa datang daripada anggota sama.
“Tapi bila sampai rumah, saya terima WhatsApp daripada nombor tak dikenali dan ya, itu dia.
“Saya terus tertanya, mana profesionalisme? Mana etika kau ni guna data orang?” tambahnya.
Perkongsian itu mencetuskan persoalan orang ramai mengenai profesionalisme dan etika penggunaan data peribadi dalam kalangan penguat kuasa.
Malah ada yang menggesa perkara tersebut dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli untuk tindakan lanjut.
“Ini masalah bila ambil spesies mat rempit jadi anggota beruniform. Study sangkut tak boleh pergi jauh, then apply agensi penguatkuasaan yg hanya perlukan kelayakan minimum.
“Pastu integriti, amanah semua ke laut. Dalam kepala ingat semua orang suka and minat kat geng beruniform. Tolong DM nombor telefon dia, nak inform direct Datuk Aedy terus,” komen seorang pengguna Threads.
“Kenapa banyak lelaki komen pasal pegawai tu tak hensem sebab tu tak layan? Menda tah mindset korang ni.
“Orang cerita pasal etika. Pasal mana dapat data. Kau sibuk dengan tak hensem kau tu,” komen seorang lagi pengguna Threads.
Baca juga: Individu nasihat jangan terima duit kalau ada kesan ini sebab ia hasil rompakan bank