Tindakan pelanggan memulangkan kembali barangan yang sudah dipakai telah mengundang perasaan tidak puas hati pereka fesyen tanah air, Rico Rinaldi sebelum diluahkan di platform media sosial.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Rico meluahkan rasa berang dengan sikap pelanggan yang menyalahgunakan kemudahan pemulangan barang (return) disediakan oleh platform jualan.
Mana tidaknya, pelanggan seharusnya menggunakan kemudahan tersebut untuk memulangkan barangan yang dibeli sekiranya diterima dalam keadaan rosak, salah saiz mahupun tidak sesuai dengan pesanan.
Segelintir pelanggan yang tidak bertanggungjawab bagaimanapun bertindak memulangkan barangan yang sudah digunakan atau berada dalam keadaan rosak selain digantikan dengan produk lain.
Pelanggan kemudian mendapatkan semula wang manakala penjual perlu menanggung kerugian apabila menerima barangan rosak sekali gus membuatkan Rico enggan ‘menghalalkan’ perbuatan mereka.
“Benda ini sudah biasa berlaku dekat semua penjual. Pelanggan pulang barang tetapi sudah dipakai. Selama ini, aku diam sahaja. Hanya mampu berdoa agar Allah gantikan dengan lebih baik.
“(Kami terima) baju berbau, tudung dipulangkan ada kesan solekan, botol minyak wangi diterima dengan isi tinggal separuh. Belum lagi yang pulangkan barang tetapi bukan produk kita.
“Baru-baru ini kasut yang sudah dipakai kau pulangkan. Manusia jenis apa semua yang buat penjual seperti ini? Carilah semua penjual yang kau buat macam itu dekat akhirat nanti. Aku tak halal dunia akhirat,” kesalnya.
Masalah ini bagaikan menjadi ‘fenomena’ di Malaysia terutamanya dalam isu pembelian barangan secara di atas talian sehinggakan menimbulkan kebimbangan penjual berhubung kerugian yang perlu ditanggung.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian dimuat naik oleh Rico juga mendapati rata-rata pengguna Threads menyedari fenomena tersebut selain turut merasa kesal dengan perbuatan disifatkan tidak berakhlak itu.
“Bakal isteri siapalah itu. Mak siapalah agaknya. Tidak berakhlak. Entah macam manalah perangai anak-anak mereka kalau si ibu sudah memiliki pegangan moral macam itu. Kasihan,” kesal seorang pengguna.
“Mungkin pembeli buat ‘modal’ dia bergambar dahulu. Sudah selesai bergaya sini dan sana, selepas rasa bosan baru pulangkan balik. Selepas itu, tukar jenama lain pula. Cukup untuk buat menayang dekat sosial media.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Terkejut semak CTOS! Wanita dakwa nama digunakan beli laptop RM8,000 tanpa pengetahuan