Personaliti media sosial, Maryam Durian Kimchi mengakui tidak mudah untuknya kekal istiqamah dengan imej bertudung yang sedang dibawa ketika ini.
Kata Maryam, setiap hari dia terlintas di fikiran untuk kembali tidak berhijab, namun syukur imannya lebih kuat daripada keinginannya.
Bukan itu sahaja, kadang kala terlintas juga di fikirannya untuk makan khinzir dan minum arak.
Tetapi sehingga kini dia berusaha dengan sangat kuat melawan nafsu dan mematuhi perintah agama.
“Sejujurnya hari-hari terlintas dalam fikiran untuk buka tudung tetapi iman saya setakat ini lebih kuat daripada keinginan itu semua.
“Bukannya tak teringin mahu makan daging khinzir, mahu minum alkohol (arak), hari-hari perkara itu terlintas sahaja tetapi sekadar terlintas sahajalah.
“Apa pun saya sendiri yang kena kuat hadapi semua itu, kena banyakkan bersabar dan berjuang melawan hasutan syaitan,” katanya memetik laporan Kosmo!.
Untuk rekod, Maryam menganut agama Islam sebulan sebelum dia bernikah dengan Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 31.
Maryam mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Imam Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan pada 11 Julai 2019.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan Ryzal pada 15 Ogos 2019 selepas saling mengenal hati budi di Korea Selatan.
Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Rina yang kini berusia dua tahun.
Baca juga: Baru tahu ada cara ‘express’ buat Apam Kukus, kisar semua bahan selesai masalah!