“Masih tak balik jam 5 petang” – Isteri sangka suami OT, rupanya gigih kutip tin cari rezeki

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang wanita berkongsi kisah menyentuh hati mengenai suaminya yang sanggup bekerja lebih masa dan mencari pendapatan tambahan demi menambah rezeki keluarga.

Menerusi perkongsian di media sosial, wanita dikenali sebagai doctqa memaklumkan suaminya keluar bekerja seawal jam 1 pagi kerana terlibat dengan program marathon yang diadakan di kawasan parkir tempat kerjanya.

Menurutnya, sehingga lewat petang suaminya masih belum pulang ke rumah, membuatkan dia tertanya-tanya kerana kebiasaannya tugas tersebut sudah selesai lebih awal.

Namun, wanita itu kemudian mengetahui suaminya masih berada di lokasi program kerana mengambil peluang mengutip tin minuman terbuang daripada sampah acara berkenaan untuk dijual semula sebagai pendapatan tambahan.

“Hari ini encik suami kena kerja sebab ada program marathon yang dibuat kat tapak parkir tempat kerja dia.

“Seawal jam 1 pagi malam tadi dia keluar rumah, sekarang dah jam 5 petang masih belum pulang.

“Rupanya dia masih tunggu kutip tin dari sampah event marathon tadi cari duit lebih sikit.

“Ya Allah, Kau murahkanlah rezeki suamiku, Kau jagalah dia, Kau berkatilah usahanya. Sesungguhnya aku amat mengasihi dirinya,” tulisnya di Threads.

Wanita itu turut memuat naik perbualan mesej bersama suaminya yang menunjukkan lelaki tersebut memaklumkan dia terlihat ‘duit sampingan’ ketika berada di lokasi acara.

Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata tersentuh melihat usaha seorang suami mencari rezeki halal walaupun terpaksa mengutip tin daripada tong sampah.

“Ya Allah. Kau murahkan lagi rezeki mereka ini yang telah berusaha. Sayangilah mereka selalu.

“Banggalah kak, suami akak rajin kerja kot. Gentleman bukan biawak hidup…
Ni la yang sebetulnya bukan minta sedekah tempek QR sana sini pastu menipu laginya.

“Aduh, kalau saya pun kutip je, lantaklah orang nak cakap apa. RM8.30 sekarang untuk satu kilogram,” antara komen pengguna Threads.

Baca juga: Ramai tertanya boleh ke mohon bantuan zakat untuk bayarkan hutang kita?