Masukkan Negeri Sembilan dalam Operasi Lonjakan Kapasiti, pohon MP Seremban

Oleh BORHAN AHMAD

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fok meminta Negeri Sembilan dimasukkan dalam program “Operasi Lonjakan Kapasiti” (Operation Surge Capacity) untuk memastikan semua warga dewasa yang telah mendaftar dengan My Sejahtera di Negeri Sembilan menyertai Kuala Lumpur dan Selangor divaksinasi untuk dos pertama sebelum 1 Ogos 2021.

Dalam satu kenyataannya, Anthony berkata, ini kerana kes Covid-19 di Negeri Sembilan sudah melonjak dengan ketara sebagaimana Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, untuk 5 hari berturut-turut, kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan mencecah angka melebihi 1,000 kes setiap hari iaitu; 13 Julai (1,033 kes), 14 Julai (1,537), 15 Julai (1,603), 16 Julai (1,619) dan 17 Julai (1,280).

“Keadaan ini amat membimbangkan rakyat di Negeri Sembilan dan langkah yang lebih agresif perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengawal keadaan daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pelaksanaan “Operasi Lonjakan Kapasiti” (Operation Surge Capacity) untuk memastikan semua warga dewasa yang telah mendaftar dengan My Sejahtera di Kuala Lumpur dan Selangor divaksinasi untuk dos pertama sebelum 1 Ogos 2021.

“Saya ingin menyeru Khairy supaya memperluaskan “Operasi Lonjakan Kapasiti” untuk merangkumi Negeri Sembilan dalam operasi tersebut memandangkan Negeri Sembilan merupakan antara 3 negeri teratas yang mencatatkan kes positif tertinggi dengan Selangor dan Kuala Lumpur.

Baca Artikel Penuh