Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Agus Yusof mencadangkan agar kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memohon maaf dan mengakui kesilapan kepada Yang Dipertuan Agong dan rakyat.
Dalam tulisannya yang menyanggah pandangan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram yang menyatakan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak penting bagi keputusan kabinet untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat, Agus berkata, tidak ada jalan lain lagi.
“Saya ingin meningatkan dalam kita mendokong raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, baginda Agong bukanlah rubber stamp. Hormati baginda dan setelah baginda telah menzahirkan rasa dukacita, usah lagi mempertahankan benang basah.
“Tindakan terbaik yang perlu dilakukan ialah mohon maaf dan akui kesilapan. Jangan lagi rosakkan demokrasi dan rosakkan sistem raja berperlembagaan.
“Ingat, fakta dan kebenaran tidak boleh diitenggelamkan. Truth…is always like oil in water. No matter how much water you add to depress it, it always floats on tops,” kata Agus dalam tulisan itu.
Bagi saintis politik itu, anologi Sri Ram membandingkan tandatangan Raja dalam kes Pusat vs Kelantan kerana tidak bersetuju dengan Perjanjian Malaysia dengan perkenan Agong dalam kes pembatalan ordinan darurat adalah tidak tepat.
Bagi beliau, kes Kelantan vs Pusat adalah dalam keadaan kerajaan pusat bertindak bagi pihak Tanah Melayu yang Kelantan adalah sebahagian daripadanya.
Manakala kes perkenan Agong dalam kes darurat ini adalah berkaitan dengan kuasa perundangan untuk pembatalan ordinan darurat.
“Siapa yang mempunyai kuasa perundangan? Apakah kabinet seperti kata Sri Ram yang “…mempunyai kuasa tertinggi dalam semua perkara.” tanya beliau.
Bagi Agus, Kabinet tidak ada kuasa perundangan.
Kuasa perundangannya adalah di bawah perkara 44 perlembagaan: “… hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”
Bagi Agus juga, kuasa tertinggi dalam negara bukan kabinet, tetapi perlembagaan.
“Kuasa kabinet ialah membuat dasar bertujuan untuk membina sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan dan dasar itu hendaklah mengikut bidang kuasa yang diluluskan oleh parlimen. Perlembagaanlah yang memberi kuasa kepada kabinet,” katanya.