Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memberitahu sebanyak RM1 juta daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat digunakan sepenuhnya untuk membaik pulih dua lokasi jalan persekutuan yang sering diadukan kepada pejabatnya.
Wakil rakyat DAP itu berkata, dua jalan persekutuan itu ialah kawasan FT001 bermula seksyen 30.00 hingga 32.00 di depan Hospital hingga simpang Shell Kulai dan di FT 001 bermula 42.50 hingga 44.50 di depan Shell Kelapa Sawit hingga Taman Scientex Kelapa Sawit, Kulai.
“Dua lokasi jalan persekutuan tersebut dalam keadaan rosak serta mendesak perlu penurapan semula.
“Saya mengambil satu inisiatif untuk menggunakan peruntukan ahli parlimen saya untuk baik pulih jalan tersebut kerana saya mengetahui kerja penurapan semula amat diperlukan di jalan tersebut kerana jalan ini merupakan laluan utama dan sibuk pada waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nie Ching menjelaskan setiap Ahli Parlimen diberikan peruntukan Projek Mesra Rakyat berjumlah RM2 juta secara berfasa dengan RM1 juta pada fasa pertama beliau telah gunakan sepenuhnya untuk baik pulih dua jalan persekutuan tersebut.
Dalam masa sama, bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkenaan berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat persekutuan dapat memberi peruntukan baik pulih jalan persekutuan di kawasan Kulai yang lain supaya jalan persekutuan dapat digunakan dengan selamat oleh warga Kulai.
“Semoga peruntukan ini dapat menyelesaikan dua masalah jalan ini dan memberi keselesaan kepada warga Kulai untuk melalui jalan ini dengan selamat,” kata Nie Ching lagi.
Baca Tuduhan jahat, Teo Nie Ching ambil tindakan undang-undang