Tragedi pilu yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon tengah hari semalam mengejutkan ramai pihak.
Seorang lelaki warga emas yang memandu sebuah van akhirnya ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini lapor Kosmo! Online.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan bahawa perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dibuat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bermula 6 hingga 8 Mei selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pukul 8 pagi tadi,”katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Sebelum ini, media melaporkan polis telah menahan suspek yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa murid Tahun 2 sekolah berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga murid Tahun 2 sekolah berkenaan sedang berjalan kaki dilanggar di hadapan pintu pagar utama.
Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.
Baca juga: Minta senarai ‘kesalahan’ tadbir urus PMX, sekali jawapan rakyat buktikan sebaliknya