“Murid ni mesti guna duit belanja sendiri…” – Hadiah sederhana Hari Guru ini buat cikgu sebak

Oleh MALAYSIADATELINE

Hadiah kecil, air mata besar. Itulah perasaan seorang guru selepas menerima hadiah Hari Guru daripada muridnya yang dibungkus ringkas menggunakan kertas A4 dan berisi gula-gula.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok dikenali sebagai Nadia, dia mengakui sebak sebaik membuka sampul surat berkenaan selepas pulang ke rumah.

“Dapat satu sampul surat daripada kertas A4 hari ini, bergam. Hadiah Hari Guru. Balik rumah buka terus banjir,” tulisnya.

Menurutnya, dia percaya murid tersebut menggunakan duit belanja sendiri semata-mata mahu membeli hadiah untuk diberikan kepadanya.

“Fikir banyak kali, murid ni mesti pakai duit belanja sendiri beli semata-mata nak bagi hadiah,” kongsinya.

Perkongsian itu turut meraih perhatian ramai yang tersentuh dengan keikhlasan murid berkenaan walaupun hadiah diberikan cukup sederhana.

Seorang pengguna media sosial berkata hadiah seperti itu sebenarnya lebih bermakna berbanding pemberian mahal kerana datang daripada usaha dan keikhlasan seorang anak murid.

“Hadiah ini paling mahal sebenarnya sebab dia usaha sendiri dengan cara dia sendiri walaupun hanya jajan, tapi nilainya jauh lebih berharga,” tulis seorang netizen.

Selain itu, ramai juga berpendapat guru kebiasaannya lebih mengingati hadiah kecil yang diberikan dengan ikhlas berbanding hadiah mewah.

“Kalau saya jadi cikgu, saya akan ingat murid ini sampai bila-bila. Dia siap tulis nama cikgu dekat kertas tu,” komen seorang lagi pengguna.

Dalam pada itu, ada ibu bapa turut berkongsi pandangan bahawa anak-anak tidak perlu berlumba memberikan hadiah mahal kepada guru, sebaliknya memadai dengan ucapan dan sikap yang baik di sekolah.

“Kalau tak mampu, cukup sekadar ucapan dan jadi pelajar yang baik. Kita saja tahu kemampuan kewangan masing-masing,” ujar seorang netizen.

Baca juga: PM Anwar umum peruntukan RM1 juta demi kebajikan penduduk, baik pulih PPR Taman Desa Mutiara