PM Anwar umum peruntukan RM1 juta demi kebajikan penduduk, baik pulih PPR Taman Desa Mutiara

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membiayai kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan infrastuktur di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, Johor Bahru.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa peruntukan tersebut adalah langkah segera diambil kerajaan demi menjamin keselesaan dan kebajikan penduduk di kawasan tersebut.

Khabar gembira itu diumumkan Anwar dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di perumahan tersebut pada petang semalam yang kemudiannya turut dikongsikan menerusi hantaran di akaun Facebook beliau.

Dalam majlis tersebut, beliau juga mengambil kesempatan untuk menyantuni penduduk dengan mendengar keluh kesah mereka selain turut bertemu dengan golongan pekerja penghantar makanan (p-hailing).

“Ambil kesempatan santuni warga PPR Taman Desa Mutiara, Tebrau bagi melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat serta mendengar secara langsung denyut nadi, keluh kesah dan keperluan sebenar mereka di lapangan.

“Saya turut menjelaskan langkah yang sedang dan telah diusahakan Kerajaan MADANI dalam mendepani cabaran krisis bekalan serta tekanan kos sara hidup supaya rakyat terus mendapat pembelaan sewajarnya. Rakyat tidak dibiarkan memikul beban ini bersendirian.

“Saya juga sempat berbual bersama pekerja p-hailing mengenai cabaran harian yang mereka tempuhi dalam mencari rezeki. Perkara ini akan saya bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN),” katanya dalam hantaran itu.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu, langkah tersebut diambil bertujuan untuk meneliti ikhtiar terbaik supaya dapat terus membantu golongan pekerja gig.

Berhubung peruntukan RM1 juta itu, Anwar meminta agar Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse untuk segera mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk bagi menyelaras keutamaan dan keperluan paling mendesak.

Tindakan ini perlu diambil bagi mengenal pasti agihan perbelanjaan dana sebelum dibentangkan dalam tempoh dua minggu agar pelaksanaannya dapat dipercepat dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Baca juga: Lelaki kongsi sebab kenapa Honda mungkin ‘bungkus’ di Malaysia dalam lima tahun lagi