Sokongan kepada Pas mula berubah selepas parti itu menyertai kerajaan ekoran kegagalan pemimpinnya yang berada dalam kerajaan untuk melaksanakan apa yang mereka cakapkan sebelum ini.
Ekoran itu, sudah ada kebangkitan, kesedaran di kalangan rakyat bahawa Pas yang selama ini adalah parti yang mahu laksanakan Islam tetapi selepas mereka menjadi kerajaan mereka tidak boleh laksanakan Islam.
Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mendakwa, ramai penyokong Pas sudah berubah dan mula menjauhkan diri dari parti yang memerintah negeri Kedah itu.
“Orang-orang Pas sudah mula berubah. Di kawasan saya, Alor Mengkudu ini, muslimat-muslimat Pas sudah mula jumpa saya dan bagi pengakuan untuk bagi sokongan kepada kita.
“Kalau kita lihat surau mereka warna hijau sepenuhnya, kini mereka minta tubuh cawangan AMANAH di kampung mereka.
“Rupanya apabila mereka jadi menteri, jadi wakil rakyat, dua kali lima sahaja. Mereka tak kenal dah samada orang itu rasuah ke atau tidak,” kata Phahrolrazi dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan Parlimen Kuala Kedah malam tadi.

Menurut beliau, fenomena ini berbeza ketika AMANAH mula ditubuhkan dahulu di mana ahli-ahli Pas ini ‘liat’ untuk meninggalkan parti itu.
“Pas ni parti aqidah tuan-puan, bukan parti syariat. Keluar Pas sudah dianggap jadi kafir. Bila kami keluar Pas dan tubuh AMANAH, rumit untuk ahli-ahli Pas menyertainya.
“Tetapi selepas Pas masuk jadi kerajaan, terutama di peringkat nasional, baru mereka sedar banyak yang tidak boleh.
“Tetapi dulu mereka kata apa. Yang RUU 355 sudah ke mana, yang dok kerah ke Padang Merbok ni termasuk yang kayuh basikal ke sana dari Kedah,” kata Phahrolrazi.
Menurut beliau, dahulu Pas boleh membuat pelbagai janji dan pendirian tetapi apabila menjadi kerajaan, banyak yang mereka tak buat.
Di samping itu, katanya, di peringkat negeri Kedah yang dikuasai oleh Pas juga banyak perkara-perkara yang bertentangan dengan apa yang mereka cakapkan dahulu.
“Apabila mereka jadi kerajaan, apa yang mereka buat berbanding dengan ketika AMANAH menyertai kerajaan dan menjadi Exco Agama? Mana lebih teruk berbanding sekarang.
“Bila yang di Kedah ni ada ratu cantik yang buka baju ni, bila ada. Dahulu mana ada.
“Depa kata ratu cantik yang buka baju tu lelaki bukan perempuan. Padahal lelaki yang pakai baju perempuan pun tak boleh.
“Ni yang perempuan jadi body builder ni, dulu mana ada. Badan berketul-ketul, dulu mana ada, le ni je yang ada. So di mana Islamnya,” kata Phahrolrazi bekas Eco Kanan Kerajaan Negeri Kedah ketika Pakatan Harapan memerintah negeri itu sebelum ini.
Phahrolrazi dipercayai merujuk kepada pertandingan bina badan wanita yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar yang mendapat kecaman hebat di kalangan umat Islam sebelum ini tetapi pemimpin Pas hanya berdiam diri mengenainya.