Nak menangis tengok pakcik tua ini sibuk selongkar sampah, orang lain sibuk nak berbuka

Oleh WAN SITI AMINAH

Menjelang senja, kelihatan seorang lelaki tua sedang menyelongkar untuk mencari sesuatu di sebalik timbunan sampah. 

Bukan mengutip barang kitar semula untuk dijual, warga emas itu sebenarnya mencari sisa makanan untuk berbuka puasa.

Nasib menyebelahinya, lelaki tua itu berjaya menjumpai sebungkus plastik berisi dua keping kerak roti yang dibuang dalam tong sampah.

Niatnya untuk sambung menyelongkar tong sampah di kawasan kampung Pasir Hor, Kelantan itu terhenti apabila didekati sebuah kenderaan.

Bagaikan suratan takdir, ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang sedang menjalankan aktiviti kebajikan keluar daripada kenderaan tersebut.

Terkejut mendengar alasan warga emas itu mengutip sampah, Pengerusi NGO iSejahtera segera memberi bekalan makanan kepadanya.

“Sepanjang saya tegur orang-orang yang kutip barang di tong sampah, ini pertama kali orang tu tak fikir barang untuk dapat duit, tapi hanya makanan.

“Kebetulan dalam kereta saya ada sebahagian barang-barang untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

“Pihak saya memberikan beberapa barang keperluan seperti sekampit beras, tepung, gula, bihun dan wang zakat untuk dibuat belanja,” kata Datuk Muhammad Hamizan Amzah.

Mengikut perkongsian Hamizan di Facebook tiga tahun lalu, lelaki tua itu dikenali orang kampung sebagai Pokjik Basikal Merah.

Diharapkan warga emas itu berada di dalam keadaan sihat dan kepada pembaca, prihatinlah kepada orang sekeliling kita.

Baca juga: “Kerja macam kami ni orang akan pandang hina” – Pemuda tunjuk bukti gaji cecah 5 angka