Seorang wanita tidak menyangka anak yang baru dilahirkan, keluar dalam keadaan kulitnya berwarna biru lebam akibat lemas.
Menurut mStar, Farah Adibah memaklumkan anaknya lemas kerana dia sudah kehabisan tenaga untuk meneran.
“Anak lemas sebab saya tak kuat nak teran dia keluar. Saya tak berapa ingat berapa kali tapi lebih dari lima cubaan.
“Masa tu bahu dia tersangkut jadi doktor tolong tarikkan badan dia sikit untuk keluarkan. Saya tetap cuba teran juga demi nak keluarkan dia.
“Masa tu ada nurse (jururawat) tekan dan tolak perut saya ke bawah sebab nak keluarkan baby. Ada juga cara lain doktor cuba tapi saya tak tahu.
“Apa-apa pun bersyukur sangat saya tak kena buat pembedahan atau vakum masa beranak,” ujarnya seperti dipetik mStar.
Pada mulanya Farah tidak dimaklumkan mengenai warna anaknya itu dan hospital hanya memberitahu tentang kemungkinan kecederaan bahu anak akibat tersangkut.
Namun, anaknya yang dilahirkan seberat 3.34 kilogram (kg) itu disahkan sihat dan tidak cedera melainkan wajahnya yang lebam.
“Baby keluar je terus muka dia warna biru sebab lemas dalam perut. Hari pertama biru lebam, hari kedua jadi warna ungu dan hari-hari seterusnya dia jadi merah pekat.
“Kemudian kulitnya bertukar merah cair sebelum normal selepas dua minggu. Saya tak ada letak sebarang krim atau produk pada kulit dia. Memang dia sembuh sendiri saja.
“Masa mula-mula saya dan suami nak lawat baby tak fikir apa pun sehinggalah ternampak seorang baby ni mukanya lebam.
“Saya tak terfikir pun kalau itu adalah anak saya. Bila doktor kata tu anak saya, kami sangat terkejut dan istighfar,” katanya lagi.
Namun sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Farah tidak melatah atau bersedih dengan apa berlaku malah dia percaya bahawa kulit anaknya akan berubah seperti bayi lain.
“Nasihat saya dekat ibu bapa di luar sana, jika berlaku perkara yang sama macam saya, jangan terlalu fikir dan risau yang melampau.
“Pedulikan apa yang orang nak cakap. Sebabnya warna kulit baby yang macam ni memang akan berubah. Cepat atau lambat saja,” ujarnya.
Baca juga: Imej tentera tercalar, wanita buat konten kentut di mikrofon kapal TLDM dikecam