Kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘abang minyak hitam jalanan’ tular di media sosial selepas tindakannya membantu seorang pemuda Cina tanpa mengenakan sebarang caj mencuri perhatian ramai.
Lebih menyentuh hati, keputusan itu dibuat selepas dia melihat baki akaun pemuda tersebut yang tidak mencukupi, sekali gus mencerminkan keikhlasan dalam membantu tanpa mengharapkan balasan.
Menerusi segmen Selamat Pagi Malaysia, Mohd Yusof Mohamed Noor berkongsi cerita di sebalik sikapnya yang gemar membantu orang lain sebenarnya berpunca daripada pengalaman pahit yang pernah dilalui suatu ketika dahulu.
Menurutnya, dia pernah berada dalam situasi sukar sehingga tidak mempunyai wang walaupun sekadar untuk mengisi minyak bagi pulang ke rumah selepas bekerja.
Namun, apa yang berlaku selepas itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
“Dulu saya pernah tak ada duit. Masa nak balik kerja, minyak petrol habis. Saya minta seorang kawan pinjam RM5.
“Tapi dia tak bagi pinjam. Dia tinggalkan saya tepi jalan dan balik. Saya terpaksa tolak motosikal balik rumah. Itu sejarah saya,” ujarnya.
Pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga dia berjanji kepada diri sendiri untuk tidak membiarkan orang lain melalui situasi yang sama.
“Lepas tu saya niat dalam hati, InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan saya,” katanya lagi.
Baca juga: Lif asyik rosak, warga emas berkerusi roda terpaksa pakai tangga ‘goyang’ pergi dialisis