Nama dikatakan jatuh lepas kahwin, Haqiem Rusli tak melenting, anggap ia pasang surut kerjaya

Oleh MAISARAH AISYA

Biasalah baik penyanyi mahupun pelakon pastinya mahu meluangkan masa bersama tersayang selepas berkahwin.

Maka tak terkejut jika ada yang lama menyepi sebelum muncul semula dalam industri seni selepas mendirikan rumah tangga.

Buat penyanyi Haqiem Rusli dia menganggap hakikat tersebut adalah pasang surut seorang penggiat seni.

Menerusi satu video temu bual, Haqiem memaklumkan dia ada perancangan untuk kerjaya agar namanya kekal relevan.

“Nama merudum selepas berkahwin bagi saya lumrah dihadapi setiap penyanyi yang akan sedikit terkesan pada satu tahap selain turut beri impak terhadap kerjaya.

“Saya buat kajian, bukan saya sahaja mengalami turun naik seperti itu bahkan situasi sama berlaku kepada hampir semua penyanyi tetapi sebagai anak seni, kita kena teruskan berjuang.

“Perlu lebih kreatif dan strategi, kena ada satu kesedaran dan tanggungjawab untuk kekalkan nama relevan dalam industri dengan terus hasilkan karya buat peminat,” katanya dalam sebuah video temu bual.

Berkongsi mengenai kata-kata dan kritikan dilontarkan kepadanya, Haqiem menganggap ia sebagai satu nasihat dan menerima kritikan yang diberi secara bersemuka.

“Sebagai orang dikenali perkara itu memang tidak boleh lari, tapi apa yang berlaku saya anggap mereka cuma beri nasihat sahaja, baik kasar atau lembut, saya terima semua itu dengan hati terbuka.

“Tetapi saya lebih hormat orang tegur secara bersemuka, jangan hanya dalam media sosial saja atau kalau saya dan sesiapa di sekeliling saya buat silap, terus ‘call’ atau mesej saya terus.

“Dengan cara sebegitu, kita tak buka ruang untuk orang lain turut sama naik mencaci maki,” luahnya.

Baca juga: Ibu dakwa jumpa ketulan jijik dalam air kotak, bersyukur anak tak habiskan minuman