Nama Wan Azizah terpapar di dinding kolej di Ireland, baru tahu ini sejarahnya!

Oleh MALAYSIADATELINE

Pernah tular suatu ketika dahulu gambar yang memperlihatkan nama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail terpapar di dinding sebuah kolej.

Difahamkan, gambar tersebut diambil di dinding Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) iaitu salah sebuah pusat pengajian perubatan tersohor di dunia yang terletak di Dublin, Ireland.

Rupa-rupanya, Wan Azizah merupakan penuntut dalam bidang perubatan di kolej itu malah turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik di tahun 1977 sekali gus menerima Pingat Emas MacNoughton-Jones.

Penerimaan pingat inilah yang membuatkan nama Azizah yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia itu diabadikan di dinding kolej tersebut.

Sekadar info, Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St Nicholas, Alor Setar, Kedah sebelum menyambung pengajiannya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan (TKC).

Beliau yang mendapat keputusan cemerlang itu kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara di RCSI, Ireland sebelum berjaya memperolehi Ijazah Doktor Perubatan daripada institusi berkenaan.

Azizah kemudian berjaya menamatkan latihan pascasiswazah dalam bidang Oftalmologi di Royal College of Ophthalmologists (UK) sebelum memulakan perkhidmatan sebagai doktor dalam sektor kerajaan.

Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk bersara dalam bidang perubatan pada tahun 1993 apabila suaminya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Baca juga: Media Indonesia minta rakyat jangan ‘iri’, Ringgit Malaysia jadi wang terkuat Asia