Bila haus mula mencengkam, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah mendapatkan minuman secepat mungkin bagi melegakan tekak yang kering.
Kebiasaan meminum air mineral yang ditinggalkan di dalam kereta, terutama ketika cuaca panas terik, sebenarnya boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan tanpa disedari.
Perkongsian oleh Public Health Malaysia mendedahkan bahawa situasi ini sering berlaku apabila seseorang kehausan selepas memasuki kenderaan yang panas, lalu terus mencapai botol air mineral yang ditinggalkan tanpa memikirkan kesannya.
Menurutnya, botol plastik jenis PET yang digunakan untuk air mineral direka untuk kegunaan sekali sahaja dan perlu disimpan pada suhu bilik.
Namun, apabila terdedah kepada haba melampau dalam kereta, suhu dalaman boleh meningkat sehingga sekitar 70 darjah Celsius.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan struktur kimia dalam plastik menjadi tidak stabil, sekali gus membolehkan bahan berbahaya seperti Antimony serta bahan pengganggu hormon (endocrine disruptors) larut ke dalam air.
Selain itu, air dalam botol yang terdedah kepada haba juga berpotensi mengandungi zarah mikroplastik yang boleh masuk ke dalam tubuh apabila diminum.
Dalam jangka panjang, pendedahan berulang kepada bahan-bahan ini dikatakan boleh mengganggu sistem hormon, meningkatkan risiko masalah kesuburan, gangguan metabolisme serta kemungkinan risiko kanser.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak meminum air daripada botol plastik yang telah lama ditinggalkan dalam kereta.
Sebaliknya membeli air baharu atau menggunakan bekas minuman yang lebih selamat seperti botol keluli tahan karat atau kaca.
Public Health Malaysia turut mengingatkan agar orang ramai lebih peka terhadap tabiat harian yang kelihatan kecil, namun boleh memberi kesan besar kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
Baca juga: Bekas pemandu bas dan kekasih ‘diriba’ dipenjara, denda RM5,000 setiap seorang