Penyanyi, Aurora Salwa enggan mengambil pendekatan berdiam diri apabila dituduh mengamalkan ilmu sihir untuk kekal bertahan dalam program realiti nyanyian iaitu Gegar Vaganza musim ke-11.
Aurora sebaliknya dengan tegas menafikan tuduhan yang dilemparkan itu selain turut berkongsi amalannya sendiri untuk menghindar daripada terkena sebarang gangguan berunsur ilmu hitam.
Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, pemilik nama sebenar Salwa Md. Razak itu mengakui membaca hafalan beberapa ayat suci al-Quran sebagai amalan bagi mengelakkan diri dari perbuatan syirik tersebut.
“Ada yang kata Arrora Salwa pakai ‘Mak Esah’, tak perlu. Pakai ayat al-Quran lebih senang, saya nak beritahu amalkan surah al-Baqarah ayat satu sehingga lima dan ayat al-Kursi.
“Tiga ayat surah al-Baqarah yang terakhir pun hafal. Insya-ALLAH orang nak buat apa-apa dekat kita, benda tak baik itu akan berbalik kepada dia,” kata penyanyi berusia 39 tahun itu dalam satu hantaran di TikTok.
Dalam perkongsian berbentuk rakaman video itu, Aurora Salwa turut berjalan melepasi satu ampaian baju untuk membuktikan bahawa dirinya bebas daripada amalan sihir seperti didakwa sesetengah pihak.
Jelas pelantun suara lagu Ahmad itu, melepasi ampaian adalah antara pantang larang utama untuk mereka yang mengamalkan perbuatan syirik dan boleh mengundang bahaya buat pengamalnya.
“Lagi satu orang kata, kalau pakai ‘Mak Esah’ tak boleh lalu bawah ampaian. Ini sahaja ampaian yang ada, jadi saya nak langkah. Tertanggal tak. Tiada pun ‘Mak Esah’, elok lagi, Alhamdulillah.” Selorohnya.
Terdahulu, Arrora adalah merupakan salah satu daripada sembilan penyanyi yang masih berjaya mempertahankan tempat di dalam program nyanyian diadakan setiap hari Ahad itu.
Baca juga: Penyanyi ‘bea soba bea’ makin ceria, dah ada kelab peminat sendiri di penjara Narathiwat