Netizen Malaysia-Indonesia bergaduh di media sosial lepas Upin Ipin kena ‘claim’ lagi…Les’ Copaque terpaksa bersuara

Oleh KIM SYAZIE

Bukan kali pertama animasi kesayangan rakyat Malaysia, Upin & Ipin, “dicop” sebagai kepunyaan Indonesia. 

Siri animasi keluaran Les’ Copaque Production ini sudah beberapa kali sebelum ini dipertikaikan asal-usulnya, namun polemik itu tidak pernah benar-benar reda.

Terbaru, isu ini kembali dipertikaikan apabila seorang pencipta kandungan Indonesia, Frans Sanjaya, berkunjung ke sebuah muzium budaya di Mojokerto, Jawa Timur, lalu memuat naik pengalamannya melalui sebuah vlog. 

Ketika dia mengamati koleksi wayang di muzium tersebut, seorang lelaki yang berada di situ membuat dakwaan bahawa sebuah watak wayang di hadapan mereka mempunyai kemiripan dengan watak kembar ikonik Upin & Ipin. 

Dari satu tunjukan jari itulah, tuduhan lama yang sudah berkali-kali dibangkitkan itu kembali hidup, merebak laju ke media sosial kedua-dua negara dan sekali lagi memecah belah netizen di sana sini.

Menurut dakwaan lelaki itu, sekitar tahun 2008, ada animator muda dari Jakarta dan Bandung yang mencipta konsep animasi watak kembar. 

Watak itu dikatakan bernama Arifin. Kononnya, konsep ini pernah cuba dijual kepada stesen TV Indonesia, tetapi tidak mendapat sambutan kerana ketika itu industri televisyen kanak-kanak di sana lebih banyak tertumpu kepada rancangan live action atau sinetron kanak-kanak.

Selepas itu, menurut dakwaan tersebut, kerana idea itu tidak dihargai di Indonesia, ia akhirnya dibeli oleh sebuah syarikat animasi dari Malaysia. 

Kemudian, Malaysia dikatakan mengembangkan idea itu sampai lahirlah Upin & Ipin yang dikenali hari ini.

Pun begitu, Les’ Copaque sudah memberi reaksi terhadap dakwaan ini. 

Syarikat itu menegaskan bahawa animasi Upin & Ipin ialah sepenuhnya hak cipta dan karya Les’ Copaque Production dari Malaysia dan bukannya dari Indonesia.

Baca juga: “Murid ni mesti guna duit belanja sendiri…” – Hadiah sederhana Hari Guru ini buat cikgu sebak