Nik Zawawi akhirnya mohon maaf selepas dikecam, tarik kenyataan berkaitan sahabat Nabi

Oleh MALAYSIADATELINE

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi akhirnya memohon maaf dan menarik semula kenyataan beliau berkaitan sahabat Nabi Muhammad SAW selepas dikecam hebat di media sosial.

Difahamkan, kecaman itu adalah berkaitan kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Baginda dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada Ahad lalu.

Nik Zawawi menerusi kenyataan di platform Facebook itu juga mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak,.

Beliau juga memaklumkan bahawa dirinya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah mahupun menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.

“Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Menerusi perkongsian sama, Nik Zawawi juga menjelaskan bahawa tujuan asal kenyataan sebelum ini dikeluarkan adalah bertujuan untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam.

Namun Nik Zawawi mengambil tanggungjawab penuh atas kekhilafan peribadi sehingga mencetuskan kontroversi itu dan menegaskan bahawa isu tersebut tidak memiliki kaitan dengan pendirian PAS.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mahupun kepimpinannya.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, tular video memaparkan Nik Zawawi yang juga bekas Ketua Dewan Ulamak PAS itu menyampaikan ceramah berkaitan dengan kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.

Video itu bagaimanapun mengundang kecaman kerana Abu Bakar digambarkan sebagai ‘bapa ceti’ berikutan gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar pula dikatakan suka berzina.

Hal ini kerana kenyataan itu disampaikan tanpa merujuk sumber sah termasuk Sirah Muktabar selain turut membuka ruang fitnah dan salah faham kepada agama Islam.

Baca juga: Rupanya ini kesalahan ‘fatal’ Nik Zawawi, berikut ulasan Pensyarah Pengajian Quran dan Sunnah