“Pada malam dimakbulkan doa, aku naik hantu dan mohon Tuhan tarik nyawa isteri”

Oleh WAN SITI AMINAH

Akibat terlalu larut dengan emosi, seorang lelaki sanggup bangun daripada tidur untuk mendirikan solat sunat dan mendoakan keburukan terhadap isteri kesayangannya.

Meskipun reda menerima ketentuan Tuhan, lelaki terbabit masih dihantui rasa bersalah kerana pemergian isterinya seakan berpunca daripada doanya yang telah termakbul.

Berikut adalah perkongsian sang suami yang mengakui kesilapannya dan berharap orang ramai dapat mengambil pengajaran daripada ujian rumah tangga dialaminya itu.

“Assalamualaikum sahabat syurga yang dikashi sekalian. Nama aku Jay, nak kongsi kisah berkenaan dengan penyesalan terhadap doa yang telah dimakbulkan. Aku tak pernah ceritakan kepada sesiapa. Tetapi aku masih menyesal dan bersalah atas doa yang pernah diri ini panjatkan. Ini sahaja ruang luahan tanpa orang kenal siapa aku.

“Kisah yang aku nak ceritakan ini berkaitan aku dan isteri. Setiap rumah tangga pasti ada pasang surut kehidupan dan ujian hidup. Begitu juga aku. Mula-mula kahwin aku diuji dengan isteri yang selalu derhaka pada suami, tinggikan suara dan suka memaki hamun. Kalau bergaduh, mesti isteri aku akan naik tangan dan ambil pisau di dapur.

“Isteri suka acah-acah macam nak bunuh aku dan diri dia. Hampir lima tahun jugalah dia macam itu. Hidup kami masa itu, memang jauh dari agama. Aku pun mula berfikir dan muhasabah diri mengapa dia berperangai macam itu. Dari situlah aku perbaiki diri, betulkan solat, belajar agama, pergi masjid dan selalu berjemaah bersama isteri.

“Barulah nampak sedikit perubahan dalam rumah tangga. Tiada naik tangan, semua itulah. Sebagai isteri, dia baik sahaja. Tak berkira mengenai gaji dia dan selalu bantu kewangan aku. Yang tak berkenannya, mulut dia sahaja. Memang susahlah nak ubah walau aku selalu tegur. Jika bergaduh, dia suka menyakiti hati aku dengan lidahnya.

“Anak juga selalu ditengking isteri. Sampai mereka memang tak rapat sangat dengan ibu sendiri. Suatu hari, kami telah bergaduh besar. Pada malam itu iaitu malam Nisfu Syaaban, aku mendoakan keburukan kepada isteri sendiri. Pada malam yang Allah mengabulkan semua doa hambanya, aku bangun dan tunaikan solat sunat Tahajud.

“Selepas itu aku berdoa, ‘Ya Allah, jika isteriku ini berterusan menyakiti hati aku. Kau ambillah nyawanya Ya Allah’. Lima hari selepas doa dipanjatkan, isteri aku mula jatuh sakit. Sedangkan sebelum ini, dia memang sihat walafiat. Jaranglah sakit. Jika sakit biasa macam demam ataupun batuk itu adalah. Itu pun memang jarang sekali.

“Selepas jatuh sakit hampir dua minggu, doktor sahkan isteri aku menghidap barah atau kanser. Dia dirujukkan ke hospital untuk menjalani sesi kemoterapi. Masa buat rawatan, setiap malam dia mengadu dekat aku betapa sakitnya sesi tersebut. Tetapi hati aku keras masa dia sakt. Aku langsung tak pernah mendoakan kesembuhan dia.

“Padahal anak beranak lain semua siap buatkan solat hajat untuk kesembuhan isteri aku. Sampailah satu masa, dia kritikal dan ditidurkan. Ketika melawat, aku nampak dia dalam keadaan sakit yang teramat sangat. Terlihat betapa susah payahnya isteri melawan penyakitnya. Malam itu aku solat. Menangislah minta ampun kepada Allah.

“Aku juga memohon Allah ampunkan segala dosa isteri dan beri kesembuhan kepada dia. Selang dua hari selepas itu, doktor hubungi aku untuk beritahu dia tengah nazak. Saat terakhir kematian dia, aku berada disisi. Sempat bisik dua kalimah syahadah di telinganya. Aku juga bisikkan yang diri ini sudah mengampunkan segala dosanya.

“Selepas itu, isteri pergi dengan tenang meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Pemergian dia diiringi dengan reda daripada aku. Alhamdullilah, aku jugalah yang selesaikan semua urusan pengebumian dia sampai ke liang lahad. Apabila dia sudah tiada, aku rasa sunyi yang teramat sangat. Rumah terasa kosong tanpa hadirnya.

“Walaupun lidahnya macam itu, tetapi ada juga sisi baiknya sebagai isteri. Tiada lagi kedengaran gelak ketawa dan bebelannya. Sebelum ditidurkan, dia ada hantar mesej dekat aku cakap nak pergi umrah. Isteri nak aku bawa pergi umrah apabila dia sudah sihat nanti. Kalau teringatkan tentang dia, memang air mata ini laju sahaja mengalir.

“Menyesal sebab pernah mendoakan keburukan untuk isteri dan tak sempat tunaikan permintaan dia. Mungkin ini memang ajal dia tetapi sampai sekaranglah aku teringat akan doa yang pernah dilafazkan. Doa ini masih menghantui aku sampai sekarang. Bagaimanapun, aku kena belajar reda dan terima takdir yang Allah sudah tentukan.

“Cuma ada satu sahaja perkara yang aku nak pesan. Seburuk mana pasangan kita, masih ada lagi sisi baiknya yang tak pernah dilihat dan dihargai. Jangan pernah nak mendoakan keburukan pasangan kita. Sebaliknya, berdoalah supaya Allah membuka pintu hati pasangan kita untuk berubah ke arah kebaikan.

“Mungkin kita tak pernah tahu doa manakah yang Allah angkat dan tunaikan. Tetapi apabila pasangan sudah tiada, dia tetap tak akan kembali walau menangis macam mana pun. Kerinduan paling pedih adalah rindu kepada orang yang sudah tiada lagi di dunia. Mohon semua doakan aku kuat untuk jaga amanah anak yang ditinggalkan.

“Perginya isteri aku di bulan Ramadan, pada 10 malam terakhir asbab sakit. Tinggi darjatnya di sisi Allah. Semoga kita semua mati di dalam khusnul khatimah dan aku sentiasa berdoa untuk berjumpa dengannya di syurga Allah. Kerana sesungguhnya, aku sayang sangat arwah isteri. Al fatihah.” Kongsi Jay (bukan nama sebenar) menerusi forum atas talian.

Baca juga: “Jiran aku ni kena tangkap basah, tapi mak dia pula melebih nak maki hamun jiran macam anak dia tak bersalah”