“Pagar paling mahal”, pemilik RXZ sanggup pagari rumah dengan koleksi motor

Oleh KIM SYAZIE

Menyita perhatian, rumah seorang pemilik motosikal Yamaha jenis RXZ telah menjadi perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial.

Setaraf dengan kediaman mewah, rumah pengusaha bengkel itu dikelilingi dengan pagar ‘berharga’ yang bernilai jutaan ringgit.

Tidak dipagar dengan pintu automatik berteknologi tinggi, rumah lelaki yang dikenali sebagai Than itu dibentengi dengan 35 buah motosikal RXZ.

Masih menjadi kegilaan ramai peminat motosikal Malaysia, Yamaha RXZ yang dimiliki Than itu bagaimanapun langsung tidak dijaga dengan rapi.

Walaupun motosikal tersebut dilindungi dengan bumbung logam zink, kenderaan roda dua itu hanya dibiarkan tersadai dan berkarat.

Tular di aplikasi sosial TikTok, rumah yang dimilik Than itu dipercayai terletak di negara jiran iaitu di wilayah Chonburi, timur Thailand.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton kagum dengan keberanian pemilik yang membiarkan motosikalnya tidak berkunci.

Hal ini kerana, ramai yang berpendapat bahawa motosikal itu bakal hilang sekelip mata jika kediaman tersebut berada di Malaysia.

Mencuit hati, ada juga individu yang meninggalkan komen-komen menghiburkan hati pengguna lain yang membacanya.

“Kalau dekat Malaysia, selipar jepun pun boleh hilang. Inikan pula motosikal RXZ, harap maklumlah,” kongsi seorang penonton.

“Abang, lebih mahal pakai ini (pagar RXZ) atau pakai batu-bata simen? Ini soalan serius, nak buat juga kalau lebih murah.” Komen pengguna lain.

Baca juga: Jumpa banyak beg kecil masa kemas rumah mentua, lelaki tak sangka isi dalamnya…