Pahang Buat Kejutan! Penjawat Awam Kini Kerja Dari Rumah 2 Hari Seminggu

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kerajaan negeri Pahang mengambil langkah baharu dengan memperkenalkan dasar kerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu kepada penjawat awam.

Inisiatif ini dilihat sebagai usaha menyesuaikan sistem kerja dengan keadaan semasa selain memastikan kelancaran operasi pentadbiran negeri terus terjamin walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu selepas mengambil kira keluh kesah rakyat serta cabaran peningkatan kos sara hidup yang semakin dirasai ketika ini terutama kesan daripada krisis di Asia Barat.

Katanya, keputusan itu juga dibuat sebagai langkah prihatin kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.

“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat”, katanya seperti dipetik Berita Harian.