Pas Pulau Pinang berpotensi cetus sentimen etnik-agama, kitar semula fitnah terhadap DAP

Oleh KIM SYAZIE

DAP Pulau Pinang hari ini tampil menempelak kenyataan dikeluarkan Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim yang terus memburuk burukkan Pakatan Harapan (PH) dengan cara memfitnah DAP yang memimpin kerajaan negeri.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP negeri, Syerleena Abdul Rashid berkata, kenyataan Iszuree baru-baru ini tidak hanya dangkal tetapi dipenuhi dengan fitnah dan fakta tidak benar yang mencerminkan tuduhannya itu semata-mata bermotifkan politik.

Iszuree dalam kenyataannya yang diterbitkan di Harakahdaily pada 29 September lalu, cuba menyamakan nasib orang Melayu Pulau Pinang dengan nasib rakyat di Palestin.

Beliau mendakwa, ada gerakan berasaskan politik -dipercayai merujuk kepada gabungan DAP- dengan dakwaan gerakan tersebut cuba mengambil alih pemilikan tanah orang Melayu dan mendominasi penempatan sedia ada.

Syerleena kemudian membidas perkara itu dan menyifatkan tindakan Iszuree membuat kesimpulan berkenaan, hanya memperbesar kejahilan sehingga menutupi penilaiannya yang lebih baik.

“Dia memiliki reputasi untuk mencetuskan kebakaran etnik-agama di negeri ini dan mengitar semula fitnah-fitnah terhadap kerajaan negeri ini.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, dia juga sering mengemukakan pandangannya yang dangkal terhadap isu Kampung Buah Pala di Gelugor dan Kampung Mutiara di Batu Ferringhi.

“Sebagai bekas Ahli Majlis, Iszuree seharusnya lebih memahami perkara yang melibatkan undang-undang dan kuasa pemerintah negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syerleena mengingatkan Iszuree bahawa Kampung Buah Pala di Gelugor dijual dua kali oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan BN ketika itu kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang pada 18 Ogos 2004 dan sekali lagi pada 8 Jun 2005 tanpa berunding terlebih dahulu dengan penduduk.

Tanah itu katanya, habis dijual dengan premium tanah yang sangat rendah iaitu RM10 kaki persegi apabila nilai sebenar adalah RM50 kaki persegi.

Beliau juga menyatakan rasa hairan bagaimana Pas boleh pula bekerjasama dengan Umno-BN yang meninggalkan kerja kotor mereka melalui salahguna kedudukan dan kuasa, dengan melakukan perjanjian jual beli tanah di balik tirai.

“Menjual tanah rizab Melayu terlalu sebati dengan Umno. Jangan lupa bagaimana 300 ekar tanah rizab Melayu di Pulau Redang dijual dan diberikan kepada Vincent Tan untuk pembangunan pelancongan dan bagaimana 80 keluarga Melayu diusir dari Pantai Chenang, Langkawi semata-mata ingin memberi jalan kepada Pelangi Beach Resort.

“Mungkin lebih baik bagi Iszuree untuk memfokuskan perhatian kepada isu-isu mendesak yang nyata seperti bagaimana kemelesetan ekonomi menyebabkan kenaikan pengangguran, penurunan pendapatan dan bagaimana sekatan pandemik telah memecah belahkan institusi kekeluargaan.

“Saya sangat yakin bahawa bukan saya sahaja, ramai lagi yang lebih suka membaca strategi yang dapat menolong keluarga, individu dan juga 4,422 anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga kerana Covid-19

“Nasihat saya kepada Iszuree, tinggalkan retorik perlumbaan dangkal dan teruskan dengan memberikan penyelesaian terbaik yang dapat dilaksanakan untuk negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.