Pasukan bantuan banjir AMANAH telah mula memasuki Temerloh pagi dan mula mengedarkan barangan bantuan.
Pasukan ini diketuai oleh Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Turut serta adalah Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.
Mereka memasuki Kampung Tengah, Temerloh yang teruk dilanda banjir dengan menggunakan bot.

“Sebahagian bandar Temerloh masih lagi ditenggelami air,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline.
Temerloh terputus hubungan dengan Kuala Lumpur dan hanya boleh dilalui melalui Gemas, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, jumlah mangsa banjir yang terlalu ramai menyebabkan beberapa pusat penempatan sementara (PPS) di daerah ini sesak, sehingga ada yang terpaksa tidur di dalam kereta atau berkhemah di bahu jalan.
Seorang penduduk Taman Sri Semantan, Nurul Shafiqah Shahrin, berkata keadaan itu menyukarkan mangsa mendapatkan barangan keperluan seperti makanan, air mineral, selimut, bantal, pakaian, serta lampin pakai buang dan susu formula bayi.
Gadis itu bersama tiga lagi ahli keluarganya berpindah dari rumah mereka di tingkat atas sebuah rumah kedai hari ini, namun tidak mendapat tempat di PPS Sekolah Kebangsaan Mentakab Jaya kerana sudah penuh.
“Buat sementara kami sekeluarga menumpang di rumah kenalan yang tidak dinaiki air, ada penduduk yang tidur di tepi jalan. Kami belum mendapat bantuan, malah mangsa di PPS juga tidak mendapat bekalan mencukupi,” katanya ketika dihubungi Bernama.