Patutlah baju selalu kotor, rupanya mesin basuh perlu ‘dicuci’ – “Tekan 1 butang selesai masalah!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Mesin basuh yang kotor dan berkeladak boleh menjadi punca pakaian berbau hapak walaupun telah diletakkan sabun dan pewangi pakaian.

Bukan itu sahaja, kekotoran dalam mesin basuh ini juga boleh melekat kepada kain ataupun pakaian sekiranya peralatan elektrik tersebut tidak dicuci secara berkala.

Namun tahukah anda, masalah ini boleh diselesaikan dengan menekan satu butang tanpa mengeluarkan wang untuk membaik pulih atau membeli perkakas khusus buat mencuci.

Bukanlah hiasan semata-mata, butang SOAK atau TUBE CLEANING di mesin basuh sebenarnya berfungsi untuk mencuci kekotoran yang melekat di dinding peralatan elektrik tersebut.

Hanya perlu menyediakan dua bahan iaitu sedikit cuka dan soda bikarbonat sahaja, berikut adalah langkah-langkah yang perlu pembaca ikuti untuk mencuci mesin basuh.

1. Tekan butang ON
2. Pilih dan tekan program SOAK atau TUBE CLEANING. Kemudian, tekan START.

3. Apabila mesin basuh sudah mula mengisi air sehingga hampir penuh, masukkan CUKA dan SODA BIKARBONAT.

Tular di media sosial, panduan mudah ini dikongsi oleh seorang pengguna media sosial menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook milik Ika Hazman.

“Sukatan cuka dan soda bikarbonat itu boleh agak-agak sahaja. Memadai dengan masukkan suku cawan cuka bersama dua hingga tiga sudu soda bikarbonat.

“Selepas itu, tutup bahagian atas mesin basuh dan biarkan sehingga proses itu selesai. Tetapi, janganlah letak kain pula ya,” selorohnya.

Ika dalam hantaran sama turut memaklumkan, mesin basuh perlu dicuci seelok-eloknya dalam tempoh dua bulan sekali supaya peralatan elektrik tersebut dapat berfungsi dengan baik.

Jelasnya, hal ini berikutan mesin tersebut sangat senang terdedah kepada kerosakan sekiranya terlalu banyak habuk dan kekotoran yang terkumpul di dalamnya.

Baca juga: “Dulu pergi surau seorang diri, sekarang dah berteman” – Warga emas teruja jumpa jodoh semula