Patutlah pokok serai asyik tak menjadi, rupanya ini petua nak bagi tanaman ‘gemuk’

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pembekal serai telah berjaya mencuri tumpuan ramai selepas membuat satu perkongsian di akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pemuda berkenaan sanggup membocorkan petua rahsianya dalam menanam serai bagi mendapatkan hasil tumbuhan yang ‘gemuk-gemuk’ dan cantik.

Tular di media sosial, berikut kami kongsikan langkah-langkah menuai serai ‘gemuk’ yang boleh anda contohi daripada pembekal dikenali sebagai Tariq Syahman.

1. Untuk dijadikan benih, saya hanya akan memilih batang yang paling gemuk dan padat bahagian bawah.

2. Apabila sudah ditanam, benih akan mengeluarkan daun baharu. Ia akan kelihatan seperti mengurus dahulu sebelum akar, daun dan pokoknya matang.

3. Selepas pokok sudah cukup matang, batang serai yang kurus akan menggemuk semula dan ia akan mengeluarkan anak-anak pokok di sekelilingnya.

4. Jika kita tanam serai yang kurus, tanaman mungkin akan mati sebelum daun matang. Hal ini kerana, pokok tidak menyimpan tenaga yang cukup bagi proses pembesaran.

5. Tariq selalunya akan letak dua hingga tiga batang pokok di dalam satu lubang.

6. Anak-anak serai dikatakan akan tumbuh dengan lebih banyak sekiranya batang ditanam secara condong. Tariq bagaimanapun sering menanam secara menegak.

7. Pada peringkat awal, tanaman perlu disiram dengan kerap kerana akar belum matang. Selepas sebulan, sudah boleh dibiarkan. Hanya siram ketika cuaca kering.

8. Boleh letakkan baja NPK hijau secara berkala. Sebaiknya, jangan pakai baja tahi ayam untuk mengelakkan tumbuhan serai dijangkiti penyakit kulat.

9. Tidak perlu ‘trim’ daun tanaman yang sudah merimbun. Sekiranya dirapikan, pokok akan mengeluarkan daun baru yang menjadi punca batang serai menjadi kurus.

“Ramai orang takut nak tanam serai sebab katanya ular selalu sembunyi dalam rumpun. Untuk yang duduk di kawasan yang dekat dengan hutan memang ada ular.

“Jadi perlulah berhati-hati. Tetapi kalau duduk tengah bandar, tinggal di apartment tanam sahajalah. Tiada ular yang muncul tiba-tiba sebab awak tanam serai.” Katanya.

Baca juga: “Mungkin rezeki kita kat syurga” -Izzue Islam dah lali disoal mengenai anak, gembira hidup berdua