Pernahkah anda terfikir, mengapakah kebanyakkan lif di Malaysia dan juga luar negara selalunya dilengkapi dengan cermin di dindingnya.
Rupa-rupanya, cermin ini bukanlah sekadar alat untuk melihat refleksi diri sebaliknya turut ‘menjalankan tanggungjawab’ penting sehingga ia diletakkan di dalam hampir semua lif di dunia.
Umum mengetahui, lif selalunya dibina dalam saiz yang kecil dan perkara ini secara tidak langsung telah menimbulkan perasaan cemas dan takut kepada penggunanya.
Situasi ini cukup membahayakan keselamatan terutamanya bagi penghidap penyakit claustrophobia yang memiliki fobia atau ketakutan melampau kepada ruang sempit.
Oleh yang demikian, syarikat pengeluar lif tampil mengemukakan dua penyelesaian dalam menangani masalah tersebut termasuklah memasang cermin di dindingnya.
Penyelesaian kedua pula agak berbahaya untuk keselamatan pengguna di mana kelajuan lif ditingkatkan bagi mengurangkan masa penumpang berada di dalamnya.
Jalan penyelesaian terbaik yang dipilih sudah tentunya dengan memasang cermin di dinding kerana ia mampu berfungsi sebagai ‘gangguan’ terhadap orang ramai ketika mereka menggunakan lif.
Hal ini kerana, cermin dipercayai boleh membuatkan pengguna lif merasa leka dan menghabiskan masa untuk meneliti persekitaran berbanding melayan perasaan takut atau keresahan yang mereka alami ketika itu.
Sebagai contoh, pengguna mungkin menggunakan masa ketika berada di dalam lif untuk meneliti pakaian yang mereka pakai berbanding berimaginasi yang bukan-bukan hingga membahayakan keselamatan.
Bukan itu sahaja, cermin juga membuatkan ruang lif terlihat lebih besar lalu mereka yang mengalami penyakit ‘claustrophobia’ (ketakutan berlebihan ketika berada dalam ruangan kecil dan tertutup) akan berasa lebih selesa dan juga selamat.
Secara kesimpulannya, kewujudan cermin di dalam lif ini bertujuan untuk menimbulkan rasa ketenangan dan mengalihkan gangguan pengguna daripada berfikir mengenai perkara-perkara yang menakutkan
Cukup berkesan dalam memberi ilusi keluasan dalam lif, artikel ini ditulis berdasarkan penulisan di laman portal yang mendedahkan pengetahuan sains, Scienceabc.com.