Pedofil semakin agresif, ini kenapa pengesahan umur media sosial perlu dilaksana demi lindungi kanak-kanak

Oleh KIM SYAZIE

Dalam tempoh kurang dua tahun, lebih 117 individu terlibat aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak telah ditahan pihak berkuasa Malaysia, angka yang cukup memberi gambaran betapa seriusnya ancaman digital yang membayangi generasi muda negara ini.

Statistik itu, hasil operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang 2024 hingga 2026.

Ia turut merangkumi rampasan lebih 1.4 juta fail digital pornografi, dengan lebih 200,000 daripada kandungan itu disahkan sebagai Child Sexual Abuse Material (CSAM), kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak yang dilarang di bawah undang-undang Malaysia.

Bagi pihak berkuasa, data ini bukan sekadar nombor. Ia mencerminkan realiti pahit bahawa platform media sosial telah menjadi medan bagi penjenayah seksual menjerat mangsa, terutama kanak-kanak di bawah umur.

Kerajaan Bertindak: Pengesahan Umur Melalui e-KYC

Sebagai respons kepada ancaman yang semakin meruncing ini, kerajaan dalam usaha memperkenalkan mekanisme pengesahan umur bagi pengguna di bawah 16 tahun yang ingin mengakses platform media sosial di Malaysia.

Sistem yang bakal digunakan ialah Electronic Know Your Customer (e-KYC), iaitu teknologi pengesahan identiti digital yang membolehkan platform mengesahkan usia pengguna secara dalam talian tanpa memerlukan kehadiran fizikal.

Bukan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi

Walaupun langkah ini mungkin dilihat sebagai sekatan, kerajaan menegaskan bahawa tujuan sebenarnya adalah untuk mempertanggungjawabkan platform digital, bukan menghukum kanak-kanak.

Inisiatif pengesahan umur ini bertujuan memastikan platform lebih bertanggungjawab dalam mengesahkan identiti penggunanya.

Memastikan akses digital lebih bersesuaian dengan usia pengguna, dengan kandungan yang selamat dan sesuai selain memastikan Internet menjadi ruang yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga Malaysia.

Kanak-kanak tidak dinafikan akses kepada teknologi, mereka hanya perlu dilindungi daripada kandungan dan interaksi berisiko tinggi, termasuk pendedahan kepada pornografi ekstrem, eksploitasi seksual dalam talian, serta pemangsaan digital oleh individu tidak bertanggungjawab.

Malaysia bukan negara pertama

Malaysia bukan negara pertama yang mengambil pendekatan ini. 

Australia telah meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial tanpa kebenaran ibu bapa, manakala United Kingdom turut mewajibkan pengesahan umur bagi platform dalam talian melalui Online Safety Act.

Pengalaman negara-negara tersebut menunjukkan bahawa pengesahan umur, apabila dilaksanakan dengan telus dan bertanggungjawab, mampu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko digital tanpa mengorbankan kebebasan internet secara keseluruhan.

Baca juga: “BUDI95 sekarang RM2.03?” – Hantaran tular buat netizen keliru, ramai tampil betulkan fakta