Tahukah anda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memegang rekod tanpa kalah sejak mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1982.
Difahamkan, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu tidak pernah tewas dalam mana-mana pemilihan walaupun beliau beberapa kali menukar kerusi Parlimen sepanjang berada dalam arena politik.
Berikut kami senaraikan kerusi Parlimen yang pernah ditandingi oleh Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerusi penyertaannya dalam PRU bagi mengumpul sokongan rakyat.
Parlimen Permatang Pauh
Anwar mula bergelar Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas menyertai PRU buat kali pertama pada tahun 1982 dan berjaya memenangi hati rakyat di kawasan itu selama empat penggal atas tiket Barisan Nasional (BN).
Beliau menyandang kerusi itu sehingga 1999 sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dikenakan hukumsn penjara selepas berhadapan dengan dakwaan rasuah dan liwat.
Kawasan itu kemudian diambil alih oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada tahun 1999 dalam kemunculan sulungnya dalam arena politik.
Kerusi itu disandang Azizah yang kini bergelar Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sehingga 2008 sebelum dikosongkan untuk memberikan laluan kepada Anwar selepas dibebaskan daripada penjara.
Anwar berjaya kembali ke Parlimen menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 Ogos 2008 dan mewakili rakyat Permatang Pauh sehingga Pilihan Raya ke-13 (PRU13).
Parlimen Port Dickson
Selepas mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018, Anwar layak bertanding di dalam PRK Parlimen Port Dickson pada tahun sama.
Presiden PKR itu ‘menang besar’ dengan majoriti 23,560 undian selepas berjaya memperoleh 31,016 sokongan dengan menewaskan enam pencabar sekali gus membolehkan beliau kembali ke Dewan Rakyat.
Parlimen Tambun
Perjalanan Anwar diteruskan dengan kejayaan menembusi kubu pembangkang pada PRU-15 pada tahun 2022 bersama kemenangan besar di Parlimen Tambun selepas meraih 49,625 undian (majoriti sebanyak 3,736).
Beliau juga menewaskan pencabar utama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ketika itu bergelar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku penyandang kerusi berkenaan.
Kemenangan membolehkan Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya memperolehi majoriti sokongan dengan membentuk Kerajaan Perpaduan.
Baca juga: Anwar Ibrahim tak akan jadi Perdana Menteri ke 11? Kenyataan ini buat netizen fikir luar kotak